Sel stem penyelamat kebutaan
![]() |
KECEDERAAN mata akibat bahan kimia menyebabkan mata sakit, merah dan kornea menjadi kelabu. |

Percikan asid, bahan kimia dan racun ke mata adalah contoh kecederaan yang biasanya menyebabkan kebutaan.
Kecederaan ini menyebabkan kornea, iaitu struktur di bahagian depan mata menjadi kelabu serta merta, mengakibatkan kehilangan penglihatan.
More : Utusan Malaysia Online - Kesihatan
Pemeriksaan yang teliti akan menunjukkan mata mengalami keradangan yang teruk. Tanda-tanda keradangan ialah mata merah, salur darah di bahagian konjunctiva membesar, kornea kelabu dan tekanan mata mungkin meningkat.
Kornea adalah struktur mata yang paling penting, di mana ia membenarkan laluan cahaya untuk sampai ke bahagian retina dan seterusnya imej akan dihantar ke otak untuk ditafsirkan.
Kecederaan kepada kornea pada peringkat yang teruk akan menyebabkan kebutaan yang berkekalan.
Kornea adalah bahagian mata yang sangat jernih dan tidak mempunyai salur darah. Di sekeliling kornea terdapat satu kawasan ‘limbus’ yang kaya dengan sel stem dan salur darah, ia juga melindungi sel stem supaya dapat membekalkan sel-sel baru untuk menggantikan sel-sel kornea yang telah tercedera.
Rawatan
Buat masa ini, kecederaan kornea yang menyebabkan kemusnahan sel stem akan dirawat dalam pelbagai cara bergantung kepada peringkat kecederaan.
Contoh rawatan termasuk penggunaan graf dari ‘amniotic membrane’. Amniotic membrane adalah lapisan kulit luar uri yang telah dirawat bagi tujuan klinikal.
Kaedah lain ialah pemindahan tisu kornea-limbus dan konjunktiva dari mata yang sihat kepada mata yang tercedera.
Tisu dari penderma juga boleh digunakan dalam kaedah ini. Kaedah yang paling lazim digunakan ialah penggantian kornea dari penderma yang telah meninggal dunia.
Didapati kaedah-kaedah yang disebutkan di atas tidak berhasil atau menyebabkan penyakit akibat penolakan graf oleh hos (graft versus host disease), yang sangat teruk.
Pesakit-pesakit terpaksa memakan ubat steroid atau immunosuppresif seperti cyclosporin, untuk mengatasi masalah ini.
Tambahan lagi, kaedah-kaedah yang disebutkan tadi tidak berhasil kerana kawasan limbus, iaitu pembekal sel stem kornea tidak dirawat terlebih dahulu.
Sel stem
Sekarang saintis telah menemui teknik rawatan menggunakan sel stem pesakit sendiri untuk dipindahkan ke dalam mata mereka (autologous graft).
Teknik ini dapat mengelakkan masalah ‘penolakan’, dan pesakit tidak perlu dirawat dengan steroid yang berpanjangan.
Cara-cara penghasilan tisu klinikal dan sel stem:
1. Mendapatkan tisu yang mengandungi sel stem mata. Tisu kornea boleh diperolehi dari beberapa cara:
i. Sekiranya mata yang sebelah lagi dalam keadaan baik, pembedahan kecil bagi mengambil biopsi akan dilakukan untuk memotong sedikit tisu dari mata tersebut.
ii. Tisu yang sama boleh didapati dari penderma hidup, biasanya dari kalangan saudara terdekat.
iii. Tisu mata dari penderma yang sudah mati.
iv. Jika kedua-dua mata tercedera, dan tisu dari individu lain tidak sesuai, tisu dari lapisan dalam mulut (buccal mucosa) juga boleh digunakan.
Setelah mendapatkan punca tisu dari cara di atas, tisu tersebut akan dibawa ke makmal untuk dikultur.
Proses kultur ialah bagi sel-sel yang terpilih berganda dalam bilangannya dan menjadi satu lapisan yang sesuai untuk proses pemindahan.
2. Kultur sel stem
Di dalam makmal, sel akan dikultur menggunakan beberapa cara. Cara yang lazim digunakan ialah dengan bantuan membran amniotik.
Tisu amnion ini telah menjadi tidak aktif, tetapi mempunyai bahan-bahan yang kaya dengan zat pertumbuhan sel.
Maka tisu yang telah dikultur akan membiak bersama dengan cecair medium yang membekalkan nutrisi bagi pertumbuhan sel.
3. Pemindahan tisu
Pembedahan mata bagi memindahkan lapisan sel stem yang telah membentuk tisu di atas membran amniotik akan dilakukan oleh pakar mata.
Kornea akan dibersihkan dengan mengikis tisu-tisu yang telah membentuk parut terlebih dahulu.
Selepas itu, tisu graf akan dipindahkan dan dijahit ke struktur konjunktiva. Ubat titis mata akan diberikan untuk mengurangkan risiko keradangan dan jangkitan selepas pembedahan. Rawatan susulan akan diberikan setiap dua ke empat minggu.
4. Rawatan definitif
Pesakit-pesakit biasanya akan mula merasakan mata lebih selesa, di mana kemerahan akan berkurangan dan kesakitan akan pulih.
Penglihatan akan semakin baik dalam masa tiga bulan apabila keradangan mata semakin pulih.
Terkini
Pada ketika ini, sekiranya kecederaan mata asal di peringkat teruk, iaitu melibatkan lapisan kornea yang lebih dalam, rawatan definitif diperlukan.
Pemindahan kornea iaitu ‘penetrating keratoplasty’ dari penderma yang telah mati akan dilakukan.
Pada masa ini, pembedahan tersebut akan mendapat peluang yang lebih baik untuk berjaya kerana sel stem yang telah pulih dan mata yang tidak radang lagi.
Buat masa ini, kajian oleh saintis bersama pakar mata sedang giat berjalan di Jepun, Amerika Syarikat, United Kingdom dan India dan telah memasuki fasa kajian klinikal.
Di NorthEast England Stem Cell Insttitute, United Kingdom, seramai 12 orang pesakit telah menjalani kajian klinikal ini dengan hasil yang amat memberansangkan.
Dengan kajian yang sedang galak dijalankan di Malaysia, diharap pesakit-pesakit di negara ini akan memperolehi manfaat dalam kadar segera.
Penulis adalah penyelidik bersama di NorthEast England Stem Cell Insttitute, Newcastle University, Newcastle upon-Tyne, United Kingdom dan Pusat Kejuruteraan Tisu, Universiti Kebangsaan Malaysia.