Selamat Datang | Welcome to my Blog

My photo
Neways Independent Distributor & Hijrah Toyyibah Stokis (Water Filter).Email me at neways2u@gmail.com.
Saturday, November 20, 2010 · 0 comments

Urat kaki bersimpul

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
pix_middle
MEMANG kasihan melihat sesetengah orang terutama wanita hamil, khususnya yang berbadan besar, mempunyai masalah urat kaki bersimpul kerana ia bukan saja membuatkan kaki nampak ‘mengerikan’, juga individu berkenaan berasa sakit apabila berjalan atau berdiri lama.
Masalah urat kaki bersimpul atau vena varikos boleh dilihat dengan jelas melalui simpulan urat berwarna kebiruan yang ada kalanya timbul pada permukaan kulit kaki, terutama di betis dan buku lali.

Biasanya ia tidak serius tetapi kadangkala ia boleh menyebabkan pelbagai masalah sehingga membuatkan seseorang sukar berjalan.

Istilah vena varikos diambil daripada perkataan ‘varix’ yang bermaksud simpul dan vena pula merujuk kepada salur darah. Salur darah utama dalam badan kita (juga dipanggil pembuluh darah) boleh dibahagi kepada dua jenis iaitu arteri dan vena.
Arteri adalah salur yang membawa darah beroksigen dari jantung ke bahagian badan yang lain, manakala vena pula membawa darah tanpa oksigen kembali ke jantung.
Menurut Pakar Bedah Vaskular dan Endovaskular Pusat Perubatan Tropicana, Dr Lee Soon Khai, semua pembuluh darah berpotensi untuk bersimpul tetapi salur darah yang paling berisiko adalah di bahagian kaki.
Masalah urat kaki bersimpul timbul apabila berlaku kerosakan injap utama dalam salur darah vena (biasanya pada pangkal paha atau lutut) dan salur darah pada kaki menjadi lemah.
Pada keadaan semula jadi, darah kita mengalir dalam satu hala dan injap pada salur darah vena berperanan memastikan darah tidak beroksigen mengalir dari kaki ke jantung.
Selepas darah melalui injap, ia akan tertutup untuk mengelak darah mengalir balik ke kaki (aliran songsang). Apabila injap ini lemah, ia tidak boleh berfungsi dengan baik dan akan berlakulah aliran songsang darah.
Darah yang sepatutnya mengalir ke jantung akan berpatah balik dan berkumpul di dalam salur darah di kaki. Akibatnya, lama-kelamaan tekanan dalam salur darah meningkat yang akhirnya menyebabkan salur darah menjadi lemah, mengembung, membesar, memanjang dan akhirnya berbelit-belit.

“Pada peringkat awal, pesakit yang mengalami masalah urat kaki bersimpul biasanya mengalami kesakitan dan bengkak pada bahagian kaki.

“Sesetengah pesakit boleh mengesan masalah mereka kerana urat kaki bersimpul ini ada kalanya timbul dan simpulan urat boleh dilihat dengan jelas, terutama pada individu berkulit cerah.

“Masalah ini biasanya berlaku pada individu berumur antara 40 hingga 60 tahun dan lebih kerap dialami wanita (70 peratus). Oleh kerana aliran darah pada kaki terganggu, tisu di sekeliling salur darah tidak mendapat cukup oksigen dan kulit menjadi hilang warna atau menjadi pucat.

“Jika injap pada pangkal paha rosak, simpulan urat yang besar dan biru boleh dilihat pada paha tetapi ia lebih jelas pada belakang betis. Pada peringkat lebih teruk, kulit menjadi pucat dan bengkak pada buku lali,” katanya.
Menurut Dr Lee, punca sebenar masalah urat kaki bersimpul tidak diketahui tetapi pakar percaya beberapa faktor boleh menyebabkan masalah ini iaitu:

  • Faktor keturunan — Individu yang kedua-dua ibu bapa mengalami masalah ini mempunyai peluang 80 peratus mendapat masalah sama dan 50 peratus jika hanya seorang saja (ibu atau bapa) ada masalah ini. Bagaimanapun, ada juga kes (23 peratus) berlaku tanpa sebab yang pasti (tiada kaitan dengan keturunan);


  • Kehamilan — Hampir 70 peratus wanita mengandung mengalami masalah ini. Ini kerana kehamilan meningkatkan aliran darah dalam tubuh, peningkatan paras hormon progesteron menyebabkan salur darah mengembang dan rahim yang membesar menindih salur darah serta menyekat aliran darah balik ke arah jantung.

    Namun begitu, usah risau kerana tidak semua wanita hamil mengalami masalah ini. Bagi wanita yang mengalami vena varikos ketika mengandung, keadaan salur darah beransur pulih selepas tiga bulan bersalin. Namun, masalah ini berulang pada kehamilan seterusnya;

  • Pekerjaan — Biasanya masalah urat kaki bersimpul lebih kerap dialami golongan yang perlu berdiri atau duduk lama ketika bekerja seperti guru dan pekerja kilang. Ini sebabnya kita disaran berhenti rehat dan melakukan senaman ringan atau kerap menukar posisi;

  • Umur dan berat badan. Semakin seseorang itu gemuk, lebih mudahlah masalah urat kaki bersimpul terjadi. Masalah ini juga meningkat pada orang lebih berusia dan menjadi serius jika dibiarkan.
    Gejala
    Masalah vena varikos timbul perlahan-lahan dan proses itu tidak dapat dihentikan. Gejalanya boleh dilihat dengan mudah, sama ada pada paha atau belakang betis; mengikut kedudukan injap bermasalah.

    Jika injap pada pangkal paha yang bermasalah, urat kaki bersimpul boleh dilihat pada belakang paha dan betis.

    “Pada peringkat awal, pesakit mungkin mengalami gejala seperti kakinya cepat penat, terasa berat dan sengal otot. Pada peringkat akhir, kulit berubah warna menjadi pucat, kering, ulser, berlaku pendarahan apabila salur darah pecah dan sel darah merah keluar daripada kulit.

    “Apabila kaki kurang menerima oksigen, kulit menjadi pucat dan kering. Dalam keadaan ini, calar kecil pun boleh menyebabkan ulser.

    “Yang menyedihkan ialah ada pesakit hanya berjumpa doktor apabila tidak tahan sakit akibat luka dan ulser pada kaki,” kata Dr Lee.

    Antara gejala yang sering dilaporkan ialah:

  • Salur darah menjadi besar, berwarna biru, berbelit

  • Kaki bengkak

  • Bengkak dan sakit pada betis apabila berdiri atau berjalan lama

  • Berlaku perubahan pada warna kulit, kulit kaki menjadi pucat

  • Buku lali bengkak

  • Kaki cepat letih dan alami kekejangan pada waktu malam

  • Kulit menjadi nipis dan kering

  • Keradangan

  • Ulser (peringkat akhir)

  • Pendarahan (peringkat akhir)

  • Salur darah lebih halus nampak berselirat (juga dipanggil salur darah labah-labah)
    Pengesanan dan rawatan

    Masalah urat kaki bersimpul mudah dikesan, terutama apabila anda berdiri. Doktor akan memeriksa kaki pada tempat bengkak, sakit, kulit pucat, luka atau ulser. Jika anda menunjukkan gejala urat kaki bersimpul, doktor mungkin perlu menjalankan beberapa ujian untuk mengesahkannya.

    Ujian yang biasa dilakukan ialah imbasan ultra bunyi pada kaki untuk mengenal pasti kedudukan injap yang bermasalah.

    Walaupun bukan masalah serius, ia masih memerlukan rawatan awal sebaik anda menyedari kewujudan salur darah begini.

    Jika dibiarkan, kerosakan injap menyebabkan salur darah menjadi semakin besar, membuat kaki membengkak, sakit dan menjejaskan aktiviti harian.

    Ada beberapa kaedah mengatasi masalah ini, iaitu melalui pemakaian stokin khas (stokin tekanan), suntikan dan pembedahan.

    Bagaimanapun, pemakaian stokin khas hanya dapat meredakan gejala urat kaki bersimpul tetapi tidak menghalang proses pembentukannya.

    Kaedah suntikan pula hanya berkesan jika salur darah tidak terlalu besar bagi fungsi kosmetik tetapi ia tidak menghalang pembentukan urat kaki bersimpul.

    Pernah, kaedah yang sering dicadangkan kepada pesakit ialah pembedahan tetapi ramai pesakit bimbang dan takut apabila diberitahu mereka perlu dibedah; apatah lagi ia mengambil masa lama (dua minggu) untuk sembuh.

    Kini ada kaedah baru untuk merawat masalah urat kaki bersimpul iaitu rawatan laser endovenus (EVLT) yang menggunakan tenaga haba.

    Teknik ini lebih berkesan kerana ia menggunakan kurang tenaga haba berbanding kaedah lain yang kadangkala menyebabkan lebam dan bengkak akibat tenaga haba yang terlalu tinggi.

    “Tidak seperti pembedahan konvensional yang memerlukan pesakit bermalam di hospital, kaedah laser ini hanya mengambil masa lebih kurang sejam dan pesakit boleh balik pada hari sama.

    “Dalam rawatan ini, doktor mencucuk jarum pada kaki dan memasukkan satu wayar halus ke dalam salur darah yang bersimpul.

    “Selepas kedudukan wayar ditetapkan, doktor mengaktifkan laser dan tenaga haba disalurkan melalui wayar tadi. Ia secara perlahan-lahan memanaskan salur darah dan menyebabkan ia tertutup.

    “Apabila salur darah ini tertutup, aliran darah secara automatik beralih ke salur darah lain yang sihat. Maknanya aliran darah kembali normal.

    “Biasanya selepas rawatan, pesakit disaran memakai stokin tekanan untuk sekurang- kurangnya dua minggu bagi merangsang aliran darah.

    “Kadangkala kaki pesakit terasa sakit sedikit tetapi ia boleh diatasi dengan mengambil ubat untuk beberapa hari,” katanya.

    Kaedah ini juga boleh dilakukan pada pesakit yang mempunyai ulser dan tidak sembuh walaupun sudah lama dirawat. Berdasarkan pengalamannya, selepas rawatan ulser lebih cepat sembuh kerana aliran darah pada kaki kembali normal. Malah ia juga sesuai untuk pesakit yang ada masalah jantung.

    Individu yang ada masalah urat kaki bersimpul tidak perlu risau kerana walaupun teknik ini agak baru di Malaysia (sekitar empat atau lima tahun) tetapi ia selamat dan berkesan (95 peratus kejayaan).

    Bahkan kebimbangan sesetengah pihak terhadap urat yang dirawat menggunakan haba ini terbuka kembali dan menyebabkan masalah itu berulang juga tidak timbul.

    Kos rawatan untuk kaedah laser ini adalah dua kali ganda berbanding pembedahan konvensional iaitu sekitar RM6,000 hingga RM8,000 sebelah kaki.

    Bagaimanapun, untuk jangka panjang ia lebih murah jika diambil kira kos hospital, kesakitan dialami dan tempoh pemulihan kerana pesakit yang dirawat dengan kaedah laser cepat ‘sembuh’ dengan dan boleh berjalan dengan baik pada hari sama.

    Cara mengelakkan

    Dr Lee berkata, beberapa kaedah boleh diambil untuk mencegah masalah urat kaki bersimpul iaitu:

  • Memakai stokin tekanan ketika penerbangan jarak jauh, terutama bagi wanita hamil. Stokin ini diperbuat daripada bahan berkualiti menggunakan teknologi dari Jerman. Stokin tekanan ini berfungsi secara perlahan-lahan mengurangkan tekanan pada bahagian buku lali ke paha, sekali gus meningkatkan aliran darah secara betul ke bahagian jantung;

  • Menjaga berat badan (berat badan seimbang dengan ketinggian);

  • Kerap bersenam dan senaman yang berkala.


  • Monday, November 8, 2010 · 0 comments

    Mengetahui khasiat timun

    TIMUN sememangnya mempunyai pelbagai khasiat. Ia tergolong dalam kumpulan yang sama dengan labu. Luaran timun berwarna hijau agak gelap, manakala sebaik dihiris isi putih kehijauan terserlah. Terdapat dua jenis timun iaitu yang boleh dibuat acar dan untuk dihiris. Timun yang digunakan untuk dibuat acar kebiasaannya bersaiz lebih kecil.
    Timun diketahui kaya dengan bahan yang boleh menyejukkan. Malah ketika cuaca panas sayuran itu amat bermanfaat untuk membantu melegakan mata yang tertekan akibat panas terik. Selain itu, timun juga menawarkan pelbagai manfaat lain yang berguna untuk menusia.
    Nilai nutrisi bagi setiap 100 gram timun yang belum dikupas
    Karbohidrat - 3.63 gm
    Gula - 1.67 gm
    Serat - 0.5 gm
    Lemak - 0.11 gm
    Protein - 0.65 gm
    Thiamin (Vitamin B1) - 0.027 mg
    Riboflavin (Vitamin B2) - 0.033 mg
    Niacin (Vitamin B3) - 0.098 mg
    Asid Pantotenik Acid (Vitamin B5) - 0.259 mg
    Vitamin B6 - 0.040 mg
    Folat (Vitamin B9) - 7 μg
    Vitamin C - 2.8 mg
    Kalsium - 16 mg
    Besi - 0.28 mg
    Magnesium - 13 mg
    Fosforus - 24 mg
    Potasium - 147 mg
    Zink - 0.20 mg
    * Timun yang disapu ke
    wajah boleh mengurangkan
    kepanasan dan radang pada
    kulit.
    * Bahan diuretik, menyejuk dan membersih yang terdapat di
    dalam timun menjadikan sayuran tersebut baik untuk kulit.
    * Timun yang segar boleh memberi kelegaan kepada masalah
    ulser, gastritis dan pedih ulu hati.
    * Hiris timun mampu mengurangkan bengkak pada mata.
    * Pengambilan timun setiap hari membantu mengawal
    ekzema, artritis dan juga gout.
    * Timun juga bermanfaat kepada mereka yang mengalami
    masalah pada paru-paru, perut dan dada.
    * Potasium di dalam timun menjadikannya sangat berguna
    untuk membantu mengurangkan masalah tekanan darah
    rendah.
    * Timun mengandungi Erepsin - enzim yang membantu
    menghadamkan protein.
    * Jus timun membantu menggalakkan pertumbuhan rambut
    terutamanya jika ditambah jus lobak merah, kubis dan
    bayam. Campuran jus timun dan lobak mereka juga bagus
    untuk masalah reumatik disebabkan lebihan asid urik di
    dalam badan.
    * Kaya dengan mineral, timun boleh membantu menghalang
    masalah kuku.

    http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_04.htm

    · 0 comments

    Lemak di sana sini


    STRES salah satu punca kegemukan


    ZURA berasa risau dengan keadaan tubuhnya yang semakin gemuk. Baju-baju yang dibeli pada tahun lepas semakin sendat. Melihat baju-bajunya yang dibeli tiga tahun lalu, Zura dapat merasakan perbezaan yang ketara. Ternyata tubuhnya semakin mengembang. Tahun demi tahun 'pengembangan' itu semakin ketara.
    Tahun lepas dia menghabiskan RM10,000 di sebuah pusat pelangsingan dengan harapan dapat menyusutkan badan yang mengembang. Penurunan berat badan yang diperolehi hanya bersifat sementara sahaja. Tahun ini berat badannya naik kembali dengan cepat.
    Tubuhnya mengumpul lemak di belakang, lengan perut dan bahagian pinggang. Untuk memakai korset juga amat sukar kerana tubuhnya yang mengembang berasa amat tidak selesa dan ketat di sana-sini. Apabila memakai tudung dia juga dapat merasakan wajahnya seolah-olah menjadi bengkak.
    Sejak kebelakangan ada sesuatu yang menjadi kebimbangannya. Beliau berasa sukar menelan. Makanan yang ditelan seolah-olah tersengkang di kerongkong. Apabila menelan sebiji panadol dia merasakan seolah-olah panadol itu terlekat di tekaknya. Tekaknya juga berasa loya dan mulut seolah-olah berbau biarpun telah berkumur lama.
    Zura bertekad untuk melakukan senaman. Sewaktu di universiti dia amat gemar bersukan namun kini setiap kali dia cuba melakukan senaman tubuhnya terasa amat berat. Aktiviti senaman menjadi amat membosankan. Lama kelamaan dia menghentikan banyak aktiviti yang digemarinya. Masalah sering bosan melanda dirinya. Dia juga berasa bosan untuk berjalan-jalan atau bersiar-siar dengan keluarga. Dia memaksa diri demi membahagiakan keluarga. Zura juga kurang bertemu kawan-kawannya. Wanita yang cantik dan gemar bergaya kini hilang dari pandangan. Yang tinggal ialah seorang wanita yang gemuk dan murung. Wanita itu bagaikan kehabisan tenaga. Setiap hari dia tercari-cari bagaimanakah cara untuk keluar dari kepompong itu. Apakah yang terjadi? Penyakit apakah ini? Setiap kali bertemu doktor, laporan perubatan menunjukkan paras tekanan darahnya dan kandungan gula dalam darah rendah.
    Masalah Zura sememangnya disebabkan paras metabolisme yang rendah. Banyak faktor yang mencetuskan hal ini. Di dalam tubuh kita terdapat hormon dan enzim yang menukarkan lemak kepada tenaga. Apabila hormon dan enzim merosot maka proses ini terhalang. Sebab utama yang mengganggu kelenjar hormon adalah tekanan atau stres.
    Bayangkan jika anda mahu membakar sampah setinggi gunung dengan hanya 10 batang anak mancis. Selepas mancis pertama dinyalakan ia hanya mampu membakar sedikit sahaja sampah itu. Apabila angin kencang atau hujan maka nyalaan itu padam dan anda terpaksa menyalakan yang lain pula. Akhirnya setelah 10 mancis habis dinyalakan sampah setinggi gunung belum dapat dihapuskan. Lori sampah datang dan menambahkan lagi sampah yang sedia ada.
    Begitulah tubuh kita. Apabila berdiet bahan pembakar lemak yang sedikit tidak mampu menghilangkan lemak. Selepas sedikit penurunan berat badan, maka kadar metabolik merosot kerana tidak cukup bahan bakar itu. Setelah penambahan hormon metabolik barulah proses diet menjadi efektif.
    Minggu lepas saya telah menghuraikan dua masalah metabolik yang utama mengikut keadaan tubuh seseorang. Setiap rawatan adalah berbeza mengikut masalah yang dihadapi. Minggu ini saya akan menghuraikan tiga lagi masalah metabolik yang mengakibatkan kegemukan.
    1) Pengumpulan lemak pada muka.
    Masalah pengumpulan lemak pada muka dan belakang leher. Biasanya tangan dan kaki adalah agak kecil. Perut mungkin membesar sedikit dan terdapat banyak kesan rekahan. Rekahan ini di namakan striae. Sekali pandang ia kelihatan striae yang sering muncul pada perut wanita hamil. Keadaan seperti ini dinamakan cushinoid. Ia mungkin terjadi kerana faktor steroid yang tinggi dalam tubuh. Stimulasi adrenal sering membuatkan masalah ini menjadi-jadi. Besar kemungkinan faktor mengamalkan ubat-ubatan menyebabkan stimulasi pada kelenjar adrenal yang berlebihan. Banyak ubat pelangsing mencetuskan stimulasi yang sebegini. Pada jangka panjang mereka yang mengamalkan ubat sebegini mengalami masalah muka yang kelihatan bengkak.
    2) Pengumpulan lemak pada perut dan pinggang sahaja
    Bagi lelaki, masalah ini berlaku disebabkan sel-sel tidak sensitif kepada insulin. Tubuh jenis ini berisiko mendapat kencing manis. Sel sel dalam tubuhnya tidak efektif terhadap insulin menyebabkan insulin dikeluarkan dengan banyak. Kesan insulin yang banyak akan membuatkan gula di dalam tubuh menjadi rendah dan tenaga menjadi lemah. Mereka juga kerap berasa lapar. Oleh itu mereka akan kerap makan. Akibat kerap makan maka berat semakin bertambah. Mereka juga kerap merasa berdebar-debar dan mungkin berdarah rendah. Paras gula yang rendah membuatkan mereka lebih senang berehat sahaja. Golongan ini lebih suka makan dan minum minuman yang banyak gula. Apabila mengambil makanan manis mereka berasa sedikit segar dan sebentar kemudian lemah kembali menyebabkan mereka kerap makan. Golongan ini mudah stres dan pergerakan juga agak lambat.
    3) Pengumpulan lemak pada punggung.
    Masalah pengumpulan lemak pada punggung berlaku akibat kelebihan hormon gonadal. Ia mungkin berlaku pada lelaki mahu pun wanita. Kelebihan hormon gonadal atau hormon seks membawa kepada pengumpulan lemak ada kawasan ini. Mereka yang mengalami masalah ini disarankan mengambil hormon bloker dan juga mengelak daripada mengambil makanan seperti organ dalaman haiwan yang kaya dengan hormon seperti ini. Hormon yang dimaksudkan ialah estrogen. Bagi lelaki adalah baik jika mereka meningkatkan paras hormon testosteron dalam tubuhnya dan bagi wanita pula rawatan penggantian hormon adalah sesuai.

    http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_02.htm

    · 0 comments

    Melegakan gangguan mata

    Saya mudah mengalami kerengsaan (kelesuan) mata. Ini termasuklah mata saya merah dan terasa kering. Akibat masalah ini saya tidak boleh menggunakan komputer dan membaca dalam tempoh yang lama. Apakah yang boleh saya lakukan untuk memperbaiki masalah ini?
    Jawapan
    Simptom-simptom lazim mata kering termasuklah gatal, pedih dan ketidakselesaan serta mata cepat letih, seterusnya menyukarkan kita memberi tumpuan dan penelitian terhadap apa juga aktiviti yang dilakukan. Mata yang letih juga boleh berpunca daripada kurangnya nutrien dan bekalan oksigen ke mata. Seperti anggota tubuh yang lain, mata juga memerlukan nutrien yang baik agar ia kekal baik dan segar bercahaya.
    Makanan yang sihat merupakan asas penting kepada kesihatan, termasuk kesihatan mata. Melengkapkan diet seharian dengan suplemen tambahan juga dicadangkan dan memberi manfaat kepada kesihatan mata, terutamanya apabila amalan pemakanan tidak seimbang atau apabila adanya gangguan pada mata. Antaranya termasuklah antosianin, iaitu flavonoid yang dijumpai dalam buah Bilberi. Walaupun ia juga boleh dijumpai dalam buahan dan sayuran lain, namun bilberi didapati menjadi sumber yang paling kaya.
    Bilberi ini mengandungi vitamin A dan C, membekalkan perlindungan anti oksida yang membantu mencegah kerosakan radikal bebas kepada mata. Vitamin A diperlukan untuk ketajaman penglihatan, manakala vitamin C membantu pembentukan kolagen yang diperlukan untuk pertumbuhan dan pembaikan tisu-tisu serta salur darah.
    Antosianin juga membantu melindungi retina serta penghantaran saraf impuls ke bahagian penglihatan dalam otak. Kajian ke atas herba ini mencadangkan antosianin yang terkandung dalam bilberi boleh memperbaiki pelbagai simptom berkaitan gangguan penglihatan seperti rabun jauh, katarak dan kemerosotan makula.
    Antara manfaat lain termasuklah:
    1. Memperbaiki kekuatan kapilari dan fleksibiliti
    2. Meningkatkan aliran darah
    3. Meningkatkan pemulihan enzim yang bertanggungjawab kepada penghasilan tenaga kepada mata
    4. Mengandungi bahan antioksida
    Di Eropah tumbuhan yang dikenali sebagai Eyebright digunakan secara tradisional untuk merawat iritasi mata. Tumbuhan ini bermanfaat untuk mengurangkan kemerahan dan keradangan serta bengkak mata. Kini, ia banyak digabungkan dalam satu formulasi dengan Bilberi dalam suplemen untuk mengekalkan kesihatan mata.

    http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_03.htm

    Join APSense Traffic Exchange - Create Account

    Anda Boring? Layan je kat sini

    KEDAH FM

    Kedah FM Malaysia

    IKIM FM

    FEEDJIT Live Traffic Feed

    Health blogs
    Join Now