Selamat Datang | Welcome to my Blog

My photo
Neways Independent Distributor & Hijrah Toyyibah Stokis (Water Filter).Email me at neways2u@gmail.com.
Saturday, March 5, 2011 ·

Pendengaran terjejas

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
Bahagian dalam telinga
Bahagian dalam telinga
BERAPA kerap doktor memeriksa telinga anak anda setiap kali anda membawa si kecil ke klinik? Setiap kali, kadangkala, tidak pernah atau anda tidak ingat? Tidak mengapa, tetapi selepas ini diharap anda ingat untuk meminta doktor memeriksa telinga anak walaupun telinganya kelihatan tiada masalah.
Mengapa? Telinga kanak-kanak lebih kerap mengalami jangkitan berbanding orang dewasa dan ada jangkitan tidak menunjukkan gejala tetapi doktor boleh mengesan ketidak normalan pada telinga si kecil, terutama bagi yang masih belum pandai bercakap.


Jangkitan telinga adalah penyakit kedua lazim berlaku pada kanak-kanak selepas selesema. Jenis jangkitan telinga paling kerap ialah jangkitan pada telinga tengah, dipanggil otitis media dan biasanya disebabkan oleh bakteria.

Secara global, 83 peratus kanak-kanak akan mendapat sekurang-kurangnya sekali otitis media sebelum berumur tiga tahun dan 10 hingga 20 peratus kes membabitkan bayi berumur bawah 12 bulan. Kajian mendapati 60 hingga 80 peratus kes otitis media berlaku di negara membangun, termasuk Malaysia.

Senario di Malaysia tidak jauh berbeza. Menurut Ketua Jabatan Pengurusan Maklumat Kesihatan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Madya Dr Saperi Sulong, berdasarkan laporan Teknologi Penilaian Kesihatan Malaysia 2008 (MaHTAS) di bawah program perubatan Kementerian Kesihatan, setiap tahun sebanyak 500,000 kes otitis media berlaku di kalangan kanak-kanak berumur kurang dua tahun.

Daripada jumlah itu 13.8 peratus membabitkan kanak-kanak prasekolah dengan 18 peratus kes dicatatkan di bandar dan 9.5 peratus di luar bandar.

Kira-kira 50 peratus kes jangkitan disebabkan bakteria pneumokokus dan dianggarkan 75 peratus kanak-kanak mengalami sekurang-kurangnya sekali jangkitan menjelang umur tiga tahun.

“Kanak-kanak yang dihantar ke pusat jagaan harian atau tinggal di kawasan padat penduduk lebih terdedah untuk mendapat otitis media,” katanya.

Oleh kerana pusat jagaan kanak-kanak sering menjadi tempat penularan penyakit, khususnya jangkitan saluran pernafasan atas (URTI), tidak hairan jika di Singapura ia juga dipanggil ‘pusat flu’ dan pakar berpendapat jumlah otitis media boleh dikurangkan jika kes URTI dapat dikawal.

Ketua Jabatan Otorinolaringologi, Pusat Perubatan St Luke di Filipina, Dr Gretchen Locsin berkata, otitis media boleh disebabkan jangkitan bakteria atau virus.

Bahagian telinga yang dijangkiti akan membengkak dan cecair boleh berkumpul di belakang gegendang telinga. Ini menyebabkan telinga menjadi sakit, malah kanak-kanak boleh demam kerana jangkitan ini.

Otitis media biasanya disebabkan bakteria dan berlaku selepas kanak-kanak mengalami sakit tekak atau lain-lain jangkitan saluran pernafasan atas; dan bakteria ini boleh merebak ke telinga tengah.

Jika jangkitan saluran pernafasan atas disebabkan oleh virus (contohnya selesema atau flu), bakteria juga boleh menjangkiti kanak-kanak berkenaan dan menyebabkan otitis media.

Keadaan ini dipanggil jangkitan sekunder dan ia juga akan menyebabkan pengumpulan cecair di belakang gegendang telinga.

“Secara semula jadi, sel dalam telinga tengah akan menghasilkan cecair yang berfungsi mencegah kemasukan organisma. Biasanya cecair ini akan kering sendiri apabila ia mengalir keluar melalui tiub eustacia dan masuk ke dalam tekak.

“Namun apabila tiub eustacia ini membengkak, cecair di dalamnya akan terperangkap — satu keadaan yang sesuai untuk pembiakan bakteria atau virus dan menyebabkan keradangan.

“Faktor kedudukan tiub eustacia kanak-kanak lebih datar berbanding orang dewasa, saiz yang kecil dan pendek menyebabkan kanak-kanak lebih mudah mendapat jangkitan telinga. Ia mudah dilihat kerana otitis media membuatkan gegendang telinga pesakit menjadi merah dan bengkak,” katanya.

Ada dua jenis jangkitan telinga tengah iaitu jangkitan akut (otitis media akut, OAM) dan otitis media dengan kehadiran cecair (OME).

Dalam otitis media akut, bahagian telinga yang dijangkiti membengkak dan sakit. Jenis kedua iaitu otitis media dengan kehadiran cecair bermakna ada cecair terus terperangkap dalam telinga walaupun jangkitan berakhir.

Ia menyebabkan telinga sukar melawan jangkitan baru dan cecair yang terperangkap boleh menjejaskan pendengaran anak anda.

“Jangkitan telinga boleh berlaku berulang kali. Jika seseorang pesakit mengalami lebih enam episod otitis media dalam tempoh enam bulan, ia dikategorikan sebagai otitis media kronik.

“Keadaan ini hendaklah dielak kerana otitis media akan membawa kepada pelbagai masalah lain,” katanya pada sidang Kolaborasi Serantau Untuk Pencegahan Otitis Media Akut anjuran bersama Institut Kesihatan Nasional, Universiti Filipina Manila dan Persatuan Paediatrik Tropika Antarabangsa.

Menurutnya, otitis media harus diberikan rawatan sewajarnya kerana ia boleh menjejaskan pendengaran kanak-kanak. Apabila pendengaran terjejas, proses pembelajaran juga akan menjadi perlahan.

Akibatnya kanak-kanak akan menghadapi masalah dalam bilik darjah, prestasi pelajaran merosot dan perkembangan sosialnya juga terbantut. Keadaan ini membuatkan kanak-kanak yang mendapat otitis media sering dilabel bagai ‘lembap’.

Jika tidak dirawat segera, otitis media juga boleh menyebabkan komplikasi lebih serius seperti kehilangan pendengaran, kelumpuhan saraf muka, gegendang telinga berlubang, jangkitan telinga kronik (jika berlaku berulang kali), jangkitan merebak ke tulang belakang telinga, meningitis (keradangan selaput otak) dan kehadiran nanah atau sista dalam telinga.

Faktor risiko
Ada beberapa faktor risiko utama otitis media iaitu:


  • Umur — Kanak-kanak berumur enam hingga 18 bulan paling mudah mendapat jangkitan telinga. Masalah jangkitan telinga adalah masalah biasa bagi kanak-kanak dalam lingkungan umur empat bulan hingga empat tahun






  • Kanak-kanak ditempatkan dalam kumpulan besar seperti di pusat jagaan harian lebih mudah diserang selesema berbanding yang dijaga di rumah. Oleh itu mereka lebih mudah mendapat jangkitan telinga






  • Terdedah pada asap rokok atau dibesarkan dalam persekitaran dengan kualiti udara rendah. Kanak-kanak yang terdedah kepada udara mengandungi asap rokok atau tercemar mempunyai risiko lebih tinggi mengalami jangkitan






  • Kerap mendapat jangkitan saluran pernafasan atas (contohnya selesema dan flu)






  • Sejarah keluarga. Jika anda, pasangan atau ada ahli keluarga pernah mendapat jangkitan telinga, bermakna anak anda juga berpeluang mengalami masalah sama






  • Posisi badan ketika disusukan. Bayi yang menyusu dari botol sambil berbaring dikatakan lebih mudah mendapat jangkitan berbanding bayi yang menyusu dalam kedudukan badan tegak atau kedudukan kepala lebih tinggi daripada badan.
    Justeru, pakar menyarankan ibu memberi susu badan secara eksklusif sekurang-kurangnya selama enam bulan untuk menguatkan imun badan bayi dan mencegah masalah otitis media.

    Tanda
    Oleh kerana kebanyakan kes berlaku pada kanak-kanak kecil yang belum tahu mengadu, ibu bapa perlu memberi lebih perhatian kepada tanda ditunjukkan anak seperti:






  • Anak menarik-narik telinganya






  • Anak menjadi cerewet dan kerap menangis






  • Anak sukar tidur






  • Anak enggan makan






  • Demam (terutama bayi dan kanak-kanak kecil)






  • Ada cecair meleleh daripada telinga






  • Anak mengalami masalah keseimbangan






  • Anak mengalami masalah pendengaran atau lambat bertindak balas terhadap bunyi perlahan

    Rawatan
    Oleh kerana otitis media boleh menyebabkan pelbagai masalah, rawatan segera perlu diberi. Biasanya doktor akan memberikan antibiotik untuk satu jangka masa pendek, terutama jika kanak-kanak masih kecil dan tidak sihat.

    Selepas mendapat jangkitan telinga, bahagian tengah telinga anak anda mungkin mengandungi cecair selama beberapa minggu.

    Dalam tempoh ini anak anda mengalami sedikit masalah pendengaran dan cecair dalam telinganya akan hilang dalam masa dua bulan. Jika anak anda masih menunjukkan gejala keresahan dan tidak mendengar dengan baik, bawa anak berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

    Ini kerana kanak-kanak boleh mendapat beberapa kali jangkitan telinga dalam masa setahun. Bagaimanapun, jika masalah tidak berkurang selepas beberapa kali berjumpa doktor keluarga, minta supaya anak anda dirujukkan kepada pakar kanak-kanak atau pakar telinga.

    Seperkara yang ibu bapa perlu ingat ialah, bukan semua pesakit otitis media memerlukan antibiotik. Doktor akan membuat pertimbangan sama ada anak anda memerlukannya atau tidak, dan jika tidak diberi, jangan meminta kerana antibiotik tidak berguna jika masalah disebabkan jangkitan virus.

    Dalam keadaan tertentu — jika antibiotik tidak berkesan, doktor mungkin memasukkan tiub kecil pada telinga anak bagi membolehkan cecair yang terperangkap di belakang gegendang mengalir keluar.

    Ibu bapa tidak perlu bimbang kerana tiub ini akan keluar sendiri selepas satu tempoh dan gegendang telinga yang berlubang (kesan cucukan tiub) akan sembuh dan tertutup kembali. Pendengaran anak juga akan kembali normal.

    “Masalah dihadapi sekarang ialah penggunaan antibiotik berlebihan. Kita khuatir ia meningkatkan daya ketahanan bakteria terhadap antibiotik. Maknanya pesakit memerlukan antibiotik lebih kuat untuk melawan jangkitan bakteria,” kata Dr Gretchen.

    Bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, jangkitan telinga berhenti apabila kanak-kanak membesar dan mereka mempunyai pendengaran baik. Namun kaedah paling baik ialah mencegah jangkitan daripada berlaku.

    Pencegahan
    Mencegah otitis media bermakna kita boleh mengurangkan masalah penghasilan bakteria yang mempunyai daya ketahanan tinggi terhadap antibiotik; beban ibu bapa (daripada segi pengambilan cuti untuk menjaga anak sakit dan kos rawatan), beban sektor perubatan dan ekonomi masyarakat; kesakitan, kesengsaraan dan kesan sampingan yang ditanggung oleh kanak-kanak serta ibu bapa.

    “Apabila seorang anak mendapat jangkitan telinga, dia perlu diasingkan daripada anak lain, terutama yang lebih kecil, hinggalah demamnya reda,” kata Perunding Paediatrik Pusat Perubatan Selangor, Datuk Dr Zulkifli Ismail.

    Pada masa sama, jangan bawa anak yang dijangkiti berenang kerana ia boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk.

    Beberapa cara boleh dilakukan untuk mencegah jangkitan telinga seperti:






  • Membawa anak mendapatkan suntikan vaksin. Doktor akan mencadangkan jenis vaksin yang boleh mencegah jangkitan telinga seperti vaksin untuk pneumokokal. Walaupun ia tidak memberi perlindungan 100 peratus, vaksin sangat berkesan mencegah jangkitan, terutama bagi serotype virus atau bakteria yang terkandung dalam vaksin berkenaan. Malah, ia penting untuk mengurangkan komplikasi teruk akibat jangkitan pneumokokal






  • Memberikan vaksin mencegah flu juga dianggap langkah baik kerana risiko mendapat otitis media meningkat jika kerap mengalami jangkitan saluran pernafasan






  • Basuh tangan sekerap mungkin untuk mencegah pemindahan bakteria atau virus kepada anak






  • Berikan susu badan secara eksklusif sekurang-kurangnya selama enam bulan. Elakkan anak menyusu sambil berbaring






  • Jangan merokok di dalam rumah. Lebih baik, berhenti merokok. Banyak kajian menunjukkan kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa perokok lebih kerap mengalami jangkitan telinga

    Selain itu anda boleh meminta doktor memeriksa telinga anak setiap kali ke klinik, malah Dr Zulkifli juga menyarankan doktor keluarga untuk lebih peka mengenai gejala jangkitan telinga bagi membolehkan masalah telinga dapat dikesan lebih awal.



  • Petikan dari : http://www.hmetro.com.my

    0 comments:

    Join APSense Traffic Exchange - Create Account

    Anda Boring? Layan je kat sini

    KEDAH FM

    Kedah FM Malaysia

    IKIM FM

    FEEDJIT Live Traffic Feed

    Health blogs
    Join Now