Selamat Datang | Welcome to my Blog

My photo
Neways Independent Distributor & Hijrah Toyyibah Stokis (Water Filter).Email me at neways2u@gmail.com.
Saturday, December 19, 2009 · 0 comments

Sawan demam panas

Oleh Hafizah Iszahanid




Jenis biasa atau kompleks kerap dialami kanak-kanak berusia 18 bulan hingga tiga tahun

DEMAM di kalangan kanak-kanak sememangnya masalah yang kerap dihadapi. Namun, apa yang membimbangkan, peningkatan suhu badan yang tinggi secara mendadak boleh menyebabkan sawan demam panas.

Masalah ini secara umumnya berlaku di kalangan kanak-kanak berusia antara enam bulan hingga enam tahun. Bagaimanapun ia lebih kerap berlaku di kalangan kanak-kanak berusia 18 bulan hingga tiga tahun.

Pensyarah Kanan dan Pakar Pediatrik, Jabatan Pediatrik, Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia Dr Mohd Rizal Mohd Zain berkata sawan demam panas berlaku disebabkan oleh peningkatan suhu badan yang mendadak.

Ia boleh disebabkan oleh sebarang penyakit yang boleh menyebabkan demam seperti demam selsema, jangkitan telinga, jangkitan salur kencing, jangkitan virus dan lain-lain.

"Faktor genetik juga turut mempengaruhi. Dalam 24 peratus daripada kes sawan demam panas didapati mereka mempunyai sejarah keluarga mengidap masalah yang sama," katanya.
Dr Rizal berkata, dalam kebanyakan kes, sawan demam panas ini hanya berlaku sekali saja. Bagaimanapun 30% kanak-kanak yang terbabit akan mengalami serangan yang kedua dan kurang dari 10 peratus akan mengalami serangan yang ketiga atau lebih apabila demam itu berulang pada masa hadapan.

Sawan demam panas boleh dibahagi kepada dua iaitu sawan demam panas biasa dan sawan demam panas kompleks. Bagaimanapun, sawan demam panas biasa adalah yang paling kerap berlaku iaitu lebih kurang 70 peratus daripada semua kes sawan demam panas. Kanak-kanak yang mengalaminya akan diserang demam dengan mukanya kelihatan kemerahan dengan matanya melihat ke atas atau terbalik.

"Mereka kelihatan lali dan tidak sedarkan diri. Keseluruhan badan akan kejang dan kemudian bergoncang terutama pada bahagian kaki dan tangan. Biasanya ia berlaku untuk untuk beberapa saat saja dan jarang sekali melebihi tempoh lima minit," katanya.

Selepas serangan itu, kanak-kanak itu tertidur dan akan kembali pulih sejam selepas itu diikuti suhu badan yang mulai menurun. Ia juga tidak akan berulang dalam masa 24 jam.
"Sawan demam panas kompleks pula mempunyai gejala yang sama seperti sawan demam panas biasa tetapi mempunyai satu atau lebih ciri tambahan seperti jangkamasa sawan lebih dari 15 minit, berulang lebih dari sekali dalam masa 24 jam, pesakit tidak pulih semula selepas satu jam dan sawan yang berlaku hanya membabitkan sebahagian anggota badan saja," katanya.

Dr Rizal berkata rawatan sawan demam panas cuma memerlukan rawatan sokongan bagi memastikan demam terkawal.

"Selalunya ubat demam seperti 'paracetamol' dan 'ibuprofen' perlu diberi secara berkala. Jika suhu badan terlalu tinggi, membasahkan kepala (berjelum) boleh dilakukan bagi menurunkan suhu badan," katanya.

Biasanya antibiotik hanya diberikan jika demam yang berlaku disyaki berpunca daripada jangkitan bakteria. Bagi kesan jangka panjang, sawan demam panas ini tidak membahayakan dan majoriti pesakit pulih sepenuhnya. Kajian juga menunjukkan masalah ini tidak menyebabkan kerosakan pada otak dan tidak menjejaskan pencapaian akademiknya.

Kejadian sawan demam panas ini biasanya akan hilang apabila kanak-kanak mencapai umur enam tahun. Siasatan lanjut dan penilaian oleh pakar neurologi perlu dibuat jika ia masih terus berlaku walaupun kanak-kanak itu sudah berusia lebih enam tahun.

INFO: Pencegahan Sawan Panas
  • Jika anak demam, usaha turunkan suhu badan dengan segera dengan memberi ubat demam selain berjelum.
  • Ubat demam boleh diberi secara berkala mengikut dos ditetapkan doktor.
  • Pastikan juga anak anda meminum air yang cukup dan elak memakai pakaian tebal.
  • Suhu badan hendaklah sentiasa diperhatikan untuk mengelak peningkatan yang mendadak.
Sumber: Berita Harian Online

· 0 comments

Kebaikan seks selepas bersalin.




AMALAN di kalangan wanita di Kelantan, mereka lazimnya tidak melakukan hubungan kelamin untuk selama 100 hari selepas bersalin. Apabila ditanya kenapa, tidak ada jawapan yang khusus, ia hanya amalan turun temurun daripada emak kepada anak.
Walaupun tidak ada hubungan kelamin, mereka masih tidur bersama suami. Kecekalan serta daya tahan ini memerlukan dedikasi yang padu. Dari segi perancangan keluarga, amalan ini memberangsangkan.
Kelahiran
Lain bangsa lain pula amalan mereka. Tidak ada bukti kenapa setiap amalan diperlakukan. Walaubagaimanapun, tempoh yang diamalkan ini boleh dikatakan bagus kerana wanita sempat mengembalikan kecergasan fizikal selepas kepenatan bersalin serta mengandung selama 40 minggu.
Suami sepatutnya lebih arif serta memahami tugas serta tanggungjawab baru sebagai seorang bapa. Hubungan suami isteri bukanlah hanya hubungan kelamin semata-mata, ia lebih dari itu!
Walaupun hubungan kelamin semasa mengandung kerap serta aktif dan menyeronokkan tetapi lain pula selepas bersalin. Hubungan kelamin bukanlah agenda utama untuk beberapa julat masa akan datang selepas ketibaan ahli keluarga baru.
Proses kelahiran merupakan proses fizikal yang meletihkan. Bayangkan isteri terpaksa menahan kesakitan serta kontraksi rahim untuk berjam-jam lamanya sama seperti pelari marathon semasa Sukan Olimpik! Tentulah isteri akan keletihan serta kelesuan, apatah lagi apabila diberi ubat penahan sakit jenis narkotik semasa proses kelahiran.
Kemuncak emosi berlaku apabila ibu melihat bayi yang dilahirkan sihat serta selamat.
Badan ibu akan mengambil masa untuk pulih kembali, terutamanya selepas mengalami perubahan hormon semasa mengandung. Adaptasi serta fokus isteri sekarang sebagai seorang ibu mula menampakkan keanggunan seorang wanita.
Tempoh selepas bersalin dikenali sebagai ‘postpartum’, kehadiran si sayang baru menambahkan lagi keberkesanan perhubungan serta komunikasi.
Kemaskini cara berkomunikasi suami dan isteri sebelum agenda hubungan kelamin bermula. Suami tentu dan perlu memahami akan tanggungjawab masing-masing terhadap si kecil dan juga sesama sendiri.
Keinginan
Kerana kesibukan tanggungjawab baru, mungkin isteri terlupa akan hubungan kelamin. Ada doktor yang menasihati supaya berehat dari hubungan kelamin selama 6 minggu, namun nasihat ini sebenarnya tidak ada bukti kukuh.
Ada doktor yang nasihatkan supaya berehat di antara 3 hingga 6 minggu, bergantung kepada:
* Berhentinya darah dan juga discaj selepas bersalin.
* Penyembuhan luka dari episiotomi di faraj semasa proses kelahiran
* Penyembuhan dari pembedahan caesarean
Sebab-sebab lain yang menyebabkan keinginan hubungan kelamin menurun selepas bersalin termasuklah:
* Keletihan dan kelesuan dari tanggungjawab baru kerana setiap kelahiran merupakan pengalaman baru. Banyakkan meminum air serta mengambil makanan yang berkhasiat. Senaman ringkas khas untuk mereka selepas bersalin juga boleh mengurangkan ketegangan.
* Ketegangan dan rasa tidak selesa, mungkin juga kesakitan dari tempat jahitan episiotomi dan juga di abdomen dari kelahiran caesarean.
* Menyusu badan menyebabkan cairan lubrikasi di faraj menurun, jadi faraj menjadi kering dan hubungan kelamin jadi menyakitkan. Ada banyak cecair pelincir yang boleh didapati di farmasi untuk mengelakkan kekeringan.
* Anggapan bentuk badan sekarang tidak menarik, berat badan bertambah dan kulit pula menampakkan belang-belang di bahagian abdomen (selalu berlaku di kalangan orang Malaysia kerana mempunyai pigmen warna kulit yang lebih).
* Cemas dan was-was tentang peranan sebagai ibu, apatah lagi melihat si comel yang begitu lemah serta sensitif.
* Fokus terganggu dengan bunyi tangisan si comel, langsung mengganggu aktiviti kelamin.
Suami juga dipengaruhi oleh faktor-faktor sama dengan para ibu dan mereka mungkin tidak bersyahwat dan langsung tidak berupaya untuk hubungan kelamin. Jangan bimbang, sama-samalah berbincang dan hadapi setiap hari bersama.
Termengandung?
Isteri serta suami mungkin tidak bersedia untuk seorang lagi si comel untuk masa sekarang. Sekiranya ibu menyusu badan secara 100 peratus (tidak mengamalkan susu formula), proses ovulasi mungkin berlaku selepas 3 bulan.
Tetapi, sekiranya pengenalan susu formula dilakukan bertindih dengan penyusuan badan, ovulasi mungkin berlaku selepas 3 minggu.
Jadi, berbincanglah antara suami isteri akan kaedah kontraseptif terbaik.
Berjumlah dan minta nasihat doktor atau jururawat semasa lawatan susulan bayi.
Kondom merupakan kaedah perancang keluarga terbaik untuk peringkat ini kerana ibu masih menyusu badan. Sekiranya ibu yang menerajui kontraseptif, pil yang mengandungi progesteron sahaja yang terbaik kerna ianya tidak mengurangkan jumlah susu.
Untuk alat dalam rahim, pastikan dahulu yang saiz rahim telah kembali ke saiz sebelum mengandung.
Hubungan kelamin mempunyai kebaikannya sendiri. Hormon yang dikeluarkan boleh mencepatkan lagi proses penyembuhan setelah bersalin. Begitulah juga dengan penyusuan badan. Rahim akan cepat ke saiz asal. Sekiranya penyusuan badan tidak diamalkan 100 peratus, kitaran haid ibu mungkin kembali pada minggu keempat.
Secara langsung, mungkin diamati sebagai darah dari proses bersalin yang tidak lagi berhenti dan tiba-tiba jumlahnya banyak dari biasa. Ingat, penyusuan badan merendahkan hormon estrogen wanita dari ovari. Ini akan menyebabkan suasana dalaman faraj kering.
Jadi sekiranya hubungan kelamin dilangsungkan, pastikan cecair pelincir digunakan. Mungkin juga isteri serta suami boleh melambatkan hubungan zakar-faraj dengan meningkatkan tempoh sentuh menyentuh atau cumbuan.
Perubahan
Mungkin para ibu mengamati yang garis pusat faraj serta kontraksi otot-otot di sekitarnya tidak sebagaimana sebelum bersalin. Jangan runsing, dengan penyusuan badan serta latihan senaman khusus di bahagian pinggul dan perineum akan mengembalikan struktur asal dengan lebih berkesan. Sekiranya tidak berpuas hati, berjumpalah dengan doktor untuk nasihat.
Untuk seketika selepas bersalin, disebabkan paras hormon wanita estrogen serta progesteron jatuh dengan pantas, para ibu akan mengalami keadaan seakan-akan ‘menopaus’ terutamanya pada kawasan sekitar faraj. Tahap pH faraj akan meningkat dan sel-sel yang melindungi faraj dari irritasi berkurangan, menyebabkan ibu terdedah kepada gangguan serta iritasi dari sabun ataupun cecair pencuci faraj.
Jangkitan pada faraj pada waktu ini mudah berlaku, apatah lagi dengan kehadiran darah dan juga discaj. Jadi, berhati-hatilah dengan dengan produk pelincir yang digunakan, ataupun jenis-jenis kondom yang digunakan.
Penjagaan perineum juga amat penting selepas kelahiran. Perineum adalah bahagian tubuh puan di antara faraj dan dubur. Pastikan kawasan tersebut bersih dan kering. Ini meningkatkan lagi proses penyembuhan. basuh tangan setiap kali puan menukar tuala wanita.
Keringkan dengan menyapu dari depan ke belakang, supaya kuman dari bahagian dubur tidak merebak. Jahitan episiotomi, biasanya akan hilang dalam masa dua minggu.
Emosi
Ada juga di kalangan ibu-ibu yang mengalami perubahan emosi selepas bersalin. Ini juga menyukarkan perhubungan kelamin sekiranya aktiviti ini ingin dimulakan. Kemurungan ini akan dibebankan lagi dengan tanggungjawab baru sebagai seorang ibu, perubahan masa serta perubahan perhubungan di antara suami serta si comel.
Perasaan juga terganggu dengan perubahan hormon yang berlaku pada badan ibu.
Adalah tidak janggal untuk ibu berasa cemas, kurang tidur, rasa keresahan serta kemurungan, kadang-kala mungkin menangis, sedih dan mudah terguris. Suami harus memahami perubahan yang dilalui oleh isteri. Semua ini normal sekiranya berlaku dalam tempoh dua minggu dan akan segera hilang apabila penyesuaian dengan persekitaran baru berlaku.
Tetapi sekiranya berterusan, segera berbincang dengan doktor!

Sumber: Utusan Online

· 0 comments

Penglihatan penting untuk pembelajaran









ANAK saya yang berusia 14 tahun telah memakai kaca mata sejak beberapa tahun kerana penglihatan yang kurang baik.
Banyak artikel dan jurnal yang mendedahkan kebaikan buah beri dan makanan antioksida untuk kesihatan mata, namun hakikatnya ia sukar untuk diperolehi dalam jumlah yang tinggi seperti yang disarankan dalam artikel. Adakah cadangan suplemen yang bersesuaian untuk anak saya?
Jawapan,
Daya penglihatan yang baik penting untuk proses pembelajaran. Malangnya, orang ramai termasuk ibu bapa sering tidak menyedari yang anak mereka mengalami masalah penglihatan.
Penyelidikan pada 2003 oleh Profesor David Thomsom dari City University, Surrey, United Kingdom mendapati 12 peratus daripada pelajar sekolah rendah mengalami masalah penglihatan yang tidak dikesan - seperti penglihatan yang lemah pada sebelah mata dan sebagainya.
Kanak-kanak kerap menggosok mata apabila mereka membuat kerja jarak dekat seperti membaca, menonton televesyen atau bermain permainan komputer.
Dalam tempoh ini, mata mereka kurang berkelip dan menjadi kering. Kekeringan mata akan menjurus kepada keletihan, tekanan dan disertai penglihatan yang kurang baik.
Pigmen oren, merah atau biru ungu yang dijumpai dalam buah-buahan dan sayuran baik untuk mata.
Antaranya adalah seperti blueberry, bilbery dan wolfberry. Bilberi mengandungi antosianin yang bertindak sebagai antioksida yang menyokong pembentukan tisu penghubung dan membantu menguatkan kapilari mata.
Manakala karotenoid yang dijumpai dalam lycium bermanfaat untuk memperbaiki penglihatan malam dan kabur.
Eyebright berguna untuk melegakan iritasi, gatal dan mata merah. Kombinasi herba-herba ini memberi kelebihan kepada masalah penglihatan di kalangan kanak-kanak.
Dalam masa yang sama, penambahan nutrien seperti asid lemak termasuk DHA dan AA adalah perlu untuk rangsangan otak dan mata.
Banyak kajian yang membuktikan DHA adalah nutrien poten untuk perkembangan otak dan mata, fungsi kognitif serta pengawalan pergerakan.
Ikan berlemak adalah sumber utama DHA. Alternatifnya, suplemen yang kaya dengan DHA juga disarankan untuk menyokong fungsi mata dan otak yang optimum.
Untuk memperolehi dos yang tinggi, pengambilan dalam bentuk suplemen lebih menjadi pilihan kerana ia menyenangkan dan menjanjikan bekalan yang berterusan.
Pilihlah suplemen yang berkualiti serta kandungan yang lebih tinggi untuk mendapat kesan terapeutik.

sumber: Utusan Online

Monday, December 14, 2009 · 0 comments

Ruang kerja ergonomik


RUANG pejabat yang ergonomik mampu meningkatkan kualiti kerja.


BARU 15 minit di depan komputer menyiapkan tugasan, leher, bahu dan pergelangan tangan sudah berasa lenguh. Bahagian belakang dan pinggang pula terasa sengal.
Jika berhadapan dengan situasi ini, apa yang akan anda lakukan? Mahu meneruskan kerja atau berehat seketika? Atau melakukan alternatif lain seperti membetulkan kedudukan dan mencari posisi yang lebih selesa.
"Persekitaran kerja yang ergonomik memang membantu meningkatkan kualiti kerja. Tapi ia tidak semestinya bergantung kepada perabot yang digunakan, sebaliknya setiap individu boleh mewujudkan persekitaran ergonomik jika mereka mahu," kata Pakar dan Perunding Kesihatan Pekerjaan, Dr. B. Jagdev Singh.
Merujuk Wikipedia, terma ergonomik berasal dari perkataan Greek iaitu ergon yang bermaksud kerja dan nomos yang bermaksud hukum semula jadi.
Ergonomik diterjemahkan sebagai satu disiplin dalam bidang sains dan teknologi yang bertujuan untuk menyesuaikan penggunaan peralatan-peralatan pekerjaan, reka bentuk tempat kerja, persekitaran dan cara bekerja mengikut had serta kemampuan fizikal dan mental para pekerja.
"Atau dalam bahasa yang lebih mudah, memadankan mesin atau peralatan dengan manusia juga sebaliknya agar boleh berinteraksi atau bekerja dalam suasana yang harmoni," kata beliau.
Menurutnya, ergonomik juga disebut human factors di mana ia mengambil kira ciri-ciri individu seperti tinggi, berat, bentuk badan, penglihatan dan yang paling penting tahap kesihatan seseorang.
Penyelidik bidang ini melihat kepada penyesuaian kemampuan manusia melalui cara kerja, tempat kerja dan peralatan yang sesuai untuk bekerja. Reka bentuk ergonomik yang betul penting bagi mengelakkan kecederaan akibat daripada beban dan ketegangan jangka panjang.
Faktor risiko ergonomik
Dr. Jagdev berkata, bagi mendapatkan persekitaran kerja yang ergonomik ia tidak memerlukan perabot khas yang pastinya mencecah harga ribuan ringgit.
"Setiap individu adalah berbeza dari segi fizikal dan juga kekuatan. Kebolehan mereka juga berbeza. Fakta asas ini tidak boleh diubah. Kita perlu menggunakan fakta asas ini untuk merancang kerja dan juga keadaan persekitaran kerja," katanya.
Seseorang pekerja harus tahu apakah faktor risiko ergonomik yang sering berlaku di tempat kerja, kata Dr. Jagdev.
Faktor risiko ergonomik merujuk kepada aspek kerja yang boleh menyebabkan kelesuan otot, kecederaan anggota badan disebut penyakit otot rangka (muscular skeletal disorder - MSD) dan juga sindrom carpal tunnel (pergelangan tangan).
Menurutnya, secara umum terdapat lima faktor risiko ergonomik. Faktor utama adalah kedudukan badan tidak neutral ketika melakukan kerja seperti penyalahgunaan otot akibat membongkok, memusingkan badan secara paksa, mencangkung dan mendongak.
"Apabila pekerja melakukan kerja dalam keadaan kedudukan tidak neutral, ia akan memberi tekanan kepada struktur otot rangka seperti tendon, ligamen, saluran saraf dan salur darah," katanya.
Perkara tersebut berlaku kerana reka bentuk ruang kerja dan kedudukan kerja yang biasa diamalkan.
Katanya, keadaan seperti reka bentuk, susun atur komputer dan papan kekunci, kerusi serta meja yang tidak selesa menyebabkan pekerja terdedah kepada risiko tersebut.
Faktor kedua menurut beliau adalah kerja-kerja berulang yang melibatkan pergerakan anggota badan yang sama. Ia biasanya melibatkan otot, tendon dan sendi.
"Biasanya pekerja tidak menyedarinya sehingga merasa tanda-tanda awal seperti lenguh, kebas dan kelesuan atau sakit otot. Ini berpunca daripada masa kerja yang panjang, kadar kerja dan masa rehat yang pendek," kata beliau.
Pekerja dinasihat melakukan senaman regangan untuk mendapatkan pengaliran darah yang baik pada seluruh anggota dan mengelakkan daripada mendapat kelesuan otot, lenguh atau sakit pada anggota badan tertentu.
Walaubagaimanapun menurut Dr. Jagdev, terdapat juga kes di mana berlaku masalah seperti ini dan apabila dianalisis, ia bukan disebabkan kerja. Sebaliknya berpunca daripada kesilapan posisi ketika tidur.
Faktor seterusnya kata beliau adalah sentuhan.
"Tekanan wujud apabila permukaan tisu lembut seperti tapak tangan, bahagian dalam lengan, pergelangan tangan dan jari yang bersentuhan dengan permukaan tajam atau keras seperti bahagian tepi meja dan papan kekunci," katanya.
Bagi mengurangkan masalah berkenaan penggunaan pelapik gel untuk pergelangan tangan dapat membantu mengurangkan tekanan yang diterima pada permukaan tisu lembut.
Kedudukan yang statik juga menjadi faktor risiko kepada individu. Statik bermaksud pergerakan yang minimum pada bahagian tertentu ketika bekerja.
"Biasanya pekerja mengekalkan sesuatu kedudukan atau posisi dalam keadaan agak lama dan mengakibatkan pergerakan minimum pada otot dan sendi. Contohnya seperti berdiri terlalu lama. Akibatnya akan berlaku gangguan atau kurangnya pengaliran darah.
"Pekerja yang sering menggunakan komputer dinasihatkan agar kerap bergerak dan melakukan senaman regangan ringkas setiap 40 minit," katanya.
Faktor terakhir kata Dr. Jagdev adalah pencahayaan dan suhu ruang kerja.
"Kedua-dua faktor ini memainkan peranan penting bagi meningkatkan produktiviti pekerja," kata beliau.
Menurutnya, fokus yang terlalu lama pada sesuatu imej akan menyebabkan mata menjadi letih atau tertekan.
Kerana itu pekerja digalakkan mengelipkan mata bagi menggalakkan kelembapan pada permukaannya dan juga rehat setiap 30 minit bagi memulihkan tumpuan terhadap sesuatu objek.
Manakala suhu yang terlampau panas atau sejuk akan mengganggu pengaliran darah dan haba badan.
Langkah positif bagi mengelakkan MSD:-
Walaupun persekitaran tidak ergonomik boleh mengundang MSD kata Dr. Jagdev, namun daripada kebanyakan kes yang dikendalikannya tidak berkaitan dengan kerja.
"Ia juga boleh disebabkan permainan atau sukan seperti bola sepak, sepak takraw, ragbi dan sebagainya," kata beliau.
Bagaimanapun katanya, setiap individu yang berkerja perlu mengambil langkah positif bagi mengelakkan sebarang kecederaan berlaku tidak kira di mana sahaja.
Antara langkah yang boleh diambil:
l Tetapkan suhu persekitaran sekitar 22 - 25C dan kelembapan pada 40-70 peratus.
l Ubah ketinggian monitor komputer pada aras yang sesuai, pastikan bahagian atas monitor berada pada aras yang sama dengan mata bagi memastikan pekerja tidak tunduk atau mendongak ketika melihat skrin.
l Bagi pekerja yang menggunakan komputer riba, ubah sudut skrin sehingga pada jarak penglihatan optimum manakala jarak antara skrin ditetapkan pada satu depa.
l Ubah suai arah dan sudut skrin bagi mengelakkan silau serta gunakan tirai untuk mengawal cahaya.
l Rehatkan mata dengan melihat objek-objek segar seperti pokok, rumput, daun dan ikan.
l Pekerja disarankan mengambil tempoh rehat selama lima minit setiap satu jam bekerja dan masa santai di kerusi selama satu hingga dua minit setiap setengah jam bekerja atau bila yang dirasakan sesuai.
l Ketika masa rehat pekerja dinasihatkan bangun dan berjalan kerana pergerakan dapat mengurangkan tekanan pada minda serta membantu pengaliran darah.
l Semasa santai pula, pekerja dinasihatkan melakukan senaman regangan ringkas bagi membantu pengaliran darah dan mencegah kelesuan otot.
l Posisi atau kedudukan papan kekunci atau tetikus perlu berada dalam keadaan mudah dicapai dan dekat dengan badan.
l Gunakan kerusi yang sesuai dan boleh diubah ketinggian dan kecondongan bagi memberikan keselesaan kepada pekerja. Seandainya kaki tidak mencecah ke lantai, gunakan bangku kecil untuk menampan.
Kesan ergonomik yang tidak baik :
n kemalangan dan kecederaan
n MSD
n morbiditi psikologi
n kejadian kritikal (termasuk kemusnahan persekitaran)
n pengurangan kecekapan dan produktiviti terjejas
n kegagalan sistem
n ketidakpuasan kerja
n moral rendah di kalangan pekerja
n berhenti kerja
Ke arah persekitaran ergonomik
Sekali lagi Dr. Jagdev menekankan bahawa ergonomik bukan terletak sepenuhnya pada peralatan yang digunakan.
"Yang paling penting adalah usaha kita sendiri untuk menjaga keselamatan diri ketika berkerja bagi mengelakkan sebarang kemalangan juga menjaga kesihatan keseluruhan dengan sebaiknya," katanya.
Dalam apa sekali pun keadaan katanya, kemalangan boleh berlaku namun jika ia boleh diminimumkan adalah lebih baik.
"Peralatan yang canggih sekali pun tidak berupaya menghalang diri kita daripada mendapat kecederaan atau pun diserang penyakit.. Menjaga pemakanan dan bersenam di samping peka dengan keadaan sekeliling adalah kunci untuk mendapatkan kesihatan yang optimum," katanya.

Saturday, December 5, 2009 · 0 comments

Risiko tulang rapuh

Oleh Hafizah Iszahanid




Kajian dapati rakyat Malaysia kurang ambil kalsium iaitu cuma 300 hingga 500 miligram sehari

TUBUH manusia memiliki 206 tulang bagi membentuk keseluruhan rangka badan. Setiap daripada tulang ini berpotensi mengalami keretakan atau patah jika anda tidak menjadikan pengambilan kalsium sebagai rutin.

Tulang yang dijaga dengan baik, tidak akan merosot kepadatannya walaupun anda sudah berusia. Wanita misalnya, memerlukan lebih banyak kalsium berbanding lelaki kerana kalsium membantu pengecutan otot, pembekuan darah dan gerakan saraf.

Wanita hamil pula memerlukan kalsium bukan saja untuk dirinya tetapi juga untuk bayi dalam kandungan. Ketika hamil, kalsium si ibu dipindahkan kepada janin sekitar 270 miligram menjelang tempoh tiga bulan terakhir kehamilan.

Sungguhpun begitu, tidak semua wanita mengambil berat mengambil pengambilan kalsium mereka. Selepas putus haid, ketiadaan hormon estrogen menyebabkan kepadatan tulang merosot mendadak. Dengan kadar jangka hayat wanita yang lebih lama berbanding lelaki, risiko tulang rapuh lebih tinggi di kalangan wanita.

Antara komplikasi tulang rapuh yang biasa ditemui adalah patah tulang pinggul dan ia adalah masalah global. Di Amerika Syarikat misalnya, kajian mendapati lebih 300,000 dimasukkan ke hospital setiap tahun kerana masalah itu.


Di negara-negara Asia pula dianggarkan kira-kira 50 peratus kes patah tulang sendi pinggul berlaku menjelang 2050. Dalam satu kajian, pengambilan kalsium di kalangan rakyat Malaysia adalah antara 300 hingga 500 miligram (mg) sehari - satu jumlah yang sememangnya tidak mencukupi.

Masalah tulang rapuh berlaku apabila tulang kehilangan mineral dan kurang padat. Ia menyebabkan tulang lemah dan mudah patah. Selain pinggul, tulang belakang dan pergelangan tangan adalah tulang yang kerap patah.

Pereputan tulang berlaku lebih cepat dari dalam. Justeru, pengambilan kalsium harus ditingkatkan sejak muda.

Perlu diingat, usaha mengekalkan tulang sihat dan kuat, bukan kerja yang boleh dilakukan dalam tempoh singkat seperti sehari semalam. Ia memakan masa lama dan belum terlambat bagi anda memulakannya sekarang.
Kekuatan tulang bergantung pada saiz dan kepadatannya. Kepadatan tulang diperoleh dengan bantuan kalsium yang bukan saja diperoleh daripada susu atau produk tenusu tetapi juga daripada sayur-sayuran hijau seperti brokoli dan sawi. Selain itu tingkatkan pengambilan ikan, buah-buahan, kekacang, vitamin D, zink dan magnesium.

Mengurangkan risiko tulang rapuh juga boleh dilakukan dengan meminimumkan risiko seperti tidak merokok, tidak minum arak dan mengurangkan jumlah pengambilan minuman berkarbonat serta yang mengandungi kafein.

INFO: Gejala tulang rapuh
  • Sakit belakang, ia boleh menjadi lebih teruk jika berlaku keretakan.
  • Ketinggian badan terjejas dan tubuh mula membongkok.
  • Keretakan tulang di pergelangan tangan dan pinggul.


‘Vitamin’ tulang
  • Susu dan produk tenusu
  • Sayur hijau seperti brokoli dan sawi
  • Ikan, buah-buahan, kekacang, vitamin D, zink dan magnesium 
Sumber: Berita Harian Online

Join APSense Traffic Exchange - Create Account

Anda Boring? Layan je kat sini

KEDAH FM

Kedah FM Malaysia

IKIM FM

FEEDJIT Live Traffic Feed

Health blogs
Join Now