Selamat Datang | Welcome to my Blog

My photo
Neways Independent Distributor & Hijrah Toyyibah Stokis (Water Filter).Email me at neways2u@gmail.com.
Showing posts with label Info (Malay). Show all posts
Showing posts with label Info (Malay). Show all posts
Friday, December 30, 2011 · 0 comments

Ereksi petunjuk kesihatan

PASANGAN yang memiliki kualiti ereksi berasa lebih gembira dan yakin. - Gambar hiasan


SALURAN darah atau arteri pada zakar mempunyai kaitan rapat dengan tahap ereksi. Perunding Urologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr. Ong Teng Aik memberitahu, ereksi atau ketegangan pada zakar berlaku jika darah memasuki ruang zakar dengan mencukupi.
“Darah akan memenuhi ruang zakar tanpa gangguan serta memberi kekuatan ereksi andainya saluran darah tidak terganggu atau tersumbat,” kata Teng Aik.
Zakar akan membesar dan menegang apabila sepasang tisu korpus kavernosum pada alat kelamin itu terisi dengan darah.
Jelas Teng Aik, pembentukan plak dan lemak akibat pertambahan kolesterol di dalam badan mampu menyekat saluran darah.
Oleh kerana saluran darah zakar lebih kecil berbanding pada bahagian lain tubuh, tanda awal kepada masalah kesihatan kardiovaskular ditunjukkan oleh tahap ereksi.
“Penyakit kardiovaskular menyebabkan sekatan kepada aliran darah ke bahagian zakar dan menyebabkan masalah mati pucuk.
Tahap
“Sebenarnya dalam tempoh tiga tahun selepas masalah mati pucuk dikesan, pesakit berisiko mendapat penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung selain diabetes dan obesiti.
“Merokok dan amalan sedentari atau gaya hidup tidak aktif turut memberi kesan kepada kemerosotan kekuatan ereksi zakar.
“Apa yang ramai orang tidak sedar adalah kualiti ereksi rendah merupakan petanda awal kepada penyakit jantung,” kata Teng Aik.
Terdapat empat tahap ereksi iaitu mati pucuk teruk, mati pucuk sederhana, ereksi separa optima dan ereksi optima.

ZAKAR akan menegang jika kedua-dua tisu korpus kavernosum dipenuhi darah.


Bagaimanapun, tahap tiga dan empat iaitu ereksi separa optima dan ereksi optima sahaja yang mampu untuk melakukan penetrasi dan menjayakan hubungan seksual.
Menurut Teng Aik, biarpun kedua-dua tahap itu mampu menyumbang kepada kejayaan aktiviti seksual, namun kesannya menunjukkan perbezaan yang ketara.
“Jelas sekali bahawa ereksi separa optimum boleh membawa kekecewaan dalam kepuasan seksual buat seorang lelaki. Zakar tidak menegang sepenuhnya walaupun ia berkeupayaan untuk melakukan penetrasi.
“Risiko untuk mendapat penyakit jantung iskemik bagi mereka yang menghadapi masalah ereksi tahap tiga adalah lebih tinggi berbanding mereka di tahap empat kerana faktor ketidakpuasan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Pensyarah Psikologi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Profesor Dr. Low Wah Yun berkata, tahap ereksi yang rendah mampu menjejaskan emosi dan psikologi kedua-dua pasangan.
Seorang lelaki akan berasa lebih yakin kerana keperluan emosi dan psikologinya dicapai melalui hubungan seksual.
“Sekiranya memenuhi keperluan seksual, pasangan mereka akan rasa lebih disayangi. Sebanyak 93 peratus lelaki dan 83 peratus wanita memilih kekuatan dan ketegangan zakar sebagai faktor yang memberi kepuasan seksual,” ujar Wah Yun.
Wah Yun menjelaskan, usia tidak mempunyai kaitan dengan tahap ereksi zakar.
Gangguan kepada keupayaan tersebut yang dialami oleh mereka yang berusia emas adalah dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular yang dihidapi.
“Tidak kisah tua atau muda, kesemua mereka masih boleh berereksi sekiranya tiada gangguan pada zakar,” kata Wah Yun.

Source:http://www.kosmo.com.my

Sunday, November 27, 2011 · 0 comments

Awas tempias bersin!

Jangkitan virus influenza, ada kalanya dikenali sebagai "flu", sangat mudah berlaku dan menyebabkan gejala umum seperti demam, sakit kepala dan sengal otot, serta hidung tersumbat, sakit tekak, hidung berair dan batuk. Pada masa dahulu, masyarakat di negara tropika dan subtropika menganggap influenza hanya berlaku di negara barat yang beriklim lebih sejuk.
Bagaimanapun, sistem pemantauan influenza di Malaysia dan negara jiran sentiasa menunjukkan bahawa influenza adalah punca utama penyakit di kalangan kanak-kanak. Sejak virus influenza yang biasanya terdapat dalam burung (A/H5N1) menjangkiti manusia di Asia Timur pada 1997, kerajaan telah menambah baik dan meluaskan pemantauan. Selain mengenal pasti virus jenis baru yang boleh menyebabkan wabak global yang serius, sistem pemantauan ini memberi maklumat yang berharga tentang siapa yang mendapat influenza dan bila jangkitan paling banyak berlaku. Di Malaysia, jangkitan influenza berlaku sepanjang tahun dan memuncak antara Mei-Jun dan Ogos-September. Pengetahuan ini boleh membantu pihak berkuasa kesihatan dan doktor anda membuat keputusan yang lebih baik untuk mencegah influenza menerusi pemvaksinan dan untuk merawat jangkitan influenza di kalangan kanak-kanak yang lebih berisiko mengalami komplikasi serius.
Kita perlu mengubah tanggapan umum bahawa influenza bukan penyakit biasa dan bukan pula penyakit teruk. Virus influenza sentiasa tersebar di seluruh dunia, menyebabkan berjuta-juta orang jatuh sakit dan kerugian ekonomi yang sangat besar, terutamanya dari segi kehilangan hari kerja dan sekolah, dan berjuta-juta kunjungan ke klinik. Dalam selang waktu yang tidak dapat diramalkan, virus influenza jenis baru boleh muncul, menyebabkan kebanyakan orang tidak mempunyai pelalaian untuk melindungi diri daripada ancamannya. Ini boleh mengakibatkan wabak global, seperti yang berlaku pada 2009 apabila virus influenza H1N1 muncul. Setakat Ogos 2010, lebih 214 negara telah diserang wabak H1N1, dengan lebih 18,449 kematian dilaporkan. Di Malaysia sahaja, sehingga bulan Mei 2010, sebanyak 14,772 kes H1N1 disahkan dengan 87 kematian dilaporkan.
Amalan menjaga kebersihan seperti membasuh tangan dengan kerap, menutup mulut apabila bersin dan batuk, dan tidak keluar rumah apabila merasa tidak sihat, boleh membantu mengurang penyebaran influenza. Bagaimanapun, pada hakikatnya, tabiat ini sukar diamalkan, lebih-lebih lagi di kalangan kanak-kanak dan dalam keadaan sesak. Cara paling berkesan untuk mencegah jangkitan influenza ialah dengan pemvaksinan tahunan.
Tempias bersin
Sebab utama influenza sangat mudah berjangkit ialah kerana ia boleh tersebar daripada seorang kepada seorang menerusi tempias daripada mulut apabila seseorang yang dijangkiti batuk, bersin ataupun bercakap. Tempias virus dalam udara boleh menjangkiti orang yang menyedut udara ini. Virus influenza boleh juga tersebar apabila seseorang menyentuh permukaan atau objek yang tercemar.
Anda boleh menyebarkan influenza sebelum anda sendiri menyedari anda dijangkiti, kerana manusia boleh menjangkitkan virus ini kepada orang lain bermula satu hari sebelum penyakit ini menunjukkan gejalanya. Orang yang dijangkiti boleh terus menjangkitkan virus ini kepada orang lain sehingga 5 hari selepas mereka jatuh sakit, iaitu apabila mereka mula menunjukkan gejala penyakit. Kanak-kanak yang dijangkiti influenza selalunya mengalami gejala gastrousus seperti loya, muntah dan juga cirit-birit.
Menjauhkan masalah
Jika dibiarkan dan tidak dikawal, virus influenza sering menyebabkan wabak di rumah, sekolah dan dalam masyarakat. Pemvaksinan adalah langkah paling penting yang anda boleh ambil untuk mencegah jangkitan influenza. Disebabkan virus sentiasa berubah, vaksin influenza sentiasa dikemas kini untuk memastikan perlindungan daripada jenis virus yang sedang tersebar. Terdapat juga virus jenis utara dan jenis selatan, merujuk kepada wabak yang berlaku semasa musim sejuk di kedua-dua hemisfera. Inilah juga sebabnya kita perlu mengambil vaksin influenza setiap tahun. Vaksin influenza paling baru bagi 2010-2011 melindungi kita daripada tiga jenis virus – influenza A (H3N2 dan H1N1) dan influenza B – jenis yang paling biasa tersebar.
Tahukah anda bahawa jangkitan influenza juga boleh menyebabkan komplikasi perubatan yang serius?
Sumber:Utusan Online

· 0 comments

Fikiran positif kalahkan kanser

TIADA kata-kata mampu diucapkan tatkala disahkan menghidap kanser payu dara. Terbayang di fikiran, rambut semakin gugur, pakaian serta coli tidak sepadan serta berat badan tidak lagi secantik dulu.
Yang pasti berita sedih dan memeranjatkan itu seolah-olah petanda bahawa hidup mereka akan berakhir.
Namun bagi dua sahabat, Lucianna Jambari, 60, dan Umi Purwati Sunoto, 56, kanser payu dara mengubah kehidupan mereka menjadi positif, optimis, sentiasa membantu orang lain dan peka pada kesihatan diri.
"Mulanya memang saya berasa sedih apabila disahkan menghidap kanser payu dara. Tetapi disebabkan kanser ini, saya lebih optimis. Jika dahulu saya seorang yang cepat pemarah dan sensitif, saya sekarang lebih tenang dan sabar,'' ujar Lucianna ketika ditemui di Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser (CaRE) yang terletak di Tingkat 7, Blok Makmal A, Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia.
Bagi bekas pesakit kanser payu dara ini, penyakit pembunuh itu bukan bermakna penamat kehidupan tetapi memberi makna yang lebih besar.
Ketakutan
Disahkan menghidap kanser payu dara pada Mei 1997 dan selesai menjalani rawatan kemoterapi selepas melakukan pembedahan membuang sebelah payu daranya, Lucianna berjaya melawan perasaan takut yang bersarang dalam minda.
"Pada awalnya, saya tidak dapat menyangkal perasaan gelisah apabila disahkan menghidap kanser tahap kedua yang boleh dikategorikan sangat ganas.
''Saya merasai sendiri ketulan pada payu dara. Selepas berjumpa doktor, dua minggu kemudian saya menjalani pembedahan dan kemoterapi enam kali. Saya mengalami kesan sampingan seperti muntah dan hilang selera makan.
''Mood saya juga sedikit berbeza tetapi saya dapat menanganinya kerana sokongan daripada keluarga terutamanya suami,'' katanya.
Akhirnya, dia pulih seperti sedia kala tanpa perlu mengharungi radioterapi. Namun itu bukan bermakna simptom yang dialaminya sama dengan orang lain. Semuanya bergantung kepada keadaan penyakit.
Selepas 14 tahun peristiwa ini berlalu, perasaan takut Lucianna sebenarnya tidak boleh hilang.
Namun sebagai wanita yang mahukan kehidupan normal, dia berfikiran positif dan berusaha menjaga kesihatan dengan mengawal pemakanan dan mengikuti kelas aerobik.
Malah, lebih membanggakan apabila dia cuba membantu pesakit muda mengharungi detik-detik menakutkan itu.
''Dengan adanya Persatuan Kanser Network Selangor Wilayah Persekutuan (KanWork) di bawah CaRE, saya dapat menjadi sukarelawan dan membantu pesakit-pesakit lain," ujarnya.
Ketulan
Empat tahun kemudian, sahabat Lucianna, Umi Purwati Sunoto, 56, berhadapan situasi yang sama. Merasai sendiri ketulan di bahagian payu daranya ketika mandi, Umi terpaksa menangguhkan niatnya berjumpa doktor kerana mahu menumpukan pada majlis perkahwinan anaknya.
"Selepas majlis perkahwinan selesai, saya berjumpa doktor. Ketulan sebesar dua sentimeter telah ditemui. Saya menjalani pembedahan untuk membuang ketulan itu dan sebahagian di bawah ketiak.
''Pada mulanya saya tidak menjalani kemoterapi kerana takut kesan sampingannya seperti yang diberitahu kawan-kawan. Atas nasihat Lucianna, saya beranikan diri menjalani kemoterapi.
''Untuk kemoterapi kali kedua, saya lebih bersedia,'' katanya.
Pada sebelah petang hari yang sama, dia boleh memandu sendiri dan mengajar kelas aerobik. Malah dia bersyukur kerana tidak muntah-muntah seperti pesakit lain dan meneruskan rawatan sebanyak 20 kali.
Setelah 10 tahun berlalu, hidup Umi menjadi lebih baik. Dia masih aktif mengajar aerobik dan melibatkan diri dalam kerja sosial KanWork.
Dalam pada itu, CaRE dengan kerjasama KanWork telah menganjurkan Kursus Menangani Cabaran Kesihatan dan mengadakan lawatan rasmi ke Kelantan.
Orang ramai yang inginkan maklumat lanjut tentang aktiviti CaRE dan KanWork boleh menghubungi 03-89472703 atau 1-800-22-2233.
Sumber:Utusan Online

· 0 comments

Diabetes sebabkan mati mengejut

BERAT badan berlebihan menjadi punca utama masalah diabetes di Malaysia.


KEMATIAN mengejut wartawan penyiaran NBC News, Tim Russert, 58, dan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, 59, pada tahun 2008 memeranjatkan ramai orang.
Tidak terkecuali Ahli Parlimen Bukit Gantang, Roslan Shaharom, 50, dan penyanyi kumpulan nasyid Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim, 40, pada tahun 2009.
Kesemua mereka meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung.
Biarpun begitu, petanda awal kepada serangan jantung itu sudah diduga kerana masing-masing merupakan penghidap diabetes.
Perkara tersebut diakui oleh Ketua Endikronologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr. Nor Azmi Kamaruddin.
Jelas Nor Azmi, selain daripada kesan fizikal seperti gangren iaitu anggota tubuh mati atau membusuk akibat diabetes, penyakit itu juga menjadi pencetus kepada pelbagai penyakit kronik yang lain.
“Ramai orang yang hanya mengaitkan diabetes dengan kesan buruk yang berakhir dengan kaki pesakit terpaksa dipotong. Namun, hakikatnya ia boleh menyumbang kepada masalah kesihatan seperti kegagalan fungsi buah pinggang, katarak mata, sakit jantung dan serangan angin ahmar,” kata Nor Azmi.
Menurut kajian di Amerika Syarikat, sakit jantung yang berpunca daripada diabetes merupakan sebab utama kematian di negara itu iaitu sebanyak 55 peratus. Sebanyak 10 peratus pula kematian disebabkan angin ahmar yang berpunca daripada diabetes.

AMALAN pengambilan makanan seimbang boleh mencegah penyakit diabetes.


Obesiti
“Statistik itu hampir sama jika dibandingkan dengan pesakit di Malaysia.
“Justeru anda seharusnya mengambil langkah yang penting bagi mengelakkan kedua-dua penyakit yang boleh meragut nyawa itu,” katanya ketika membentangkan hasil kaji selidik pesakit diabetes PPUKM di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam kaji selidik tersebut, pihaknya mendapati majoriti penghidap penyakit itu terdiri daripada mereka yang mengalami obesiti.
Perkara itu dibuktikan apabila 62 peratus responden dalam kajian tersebut adalah terdiri mereka yang mengalami obesiti ketika pertama kali didiagnosis dengan diabetes.
“Pesakit yang mengalami obesiti dan berat badan berlebihan mempunyai risiko yang besar dalam menyebabkan komplikasi penyakit diabetes.
“Justeru perkara utama yang perlu dilakukan bagi mengelakkan penyakit jantung dan angin ahmar serta penyakit bahaya lain yang disebabkan oleh penyakit diabetes adalah dengan mengawal berat badan,” katanya lagi.
Kebimbangan terhadap penularan penyakit tersebut perlu diambil kira kerana kira-kira seorang daripada tujuh rakyat Malaysia merupakan penghidap diabetes.

GANGREN atau kematian sel sering dikaitkan dengan kesan penyakit diabetes.


Tambah Nor Amin, kaedah utama untuk menjauhkan diri daripada masalah diabetes adalah dengan mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.
Bukan sahaja dengan mengawal makanan yang diambil bahkan bersenam sebagai kaedah pencegahan.
“Jika kita mengubah gaya hidup dengan mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat sekarang, ini bermakna statistik obesiti dan penyakit diabetes di negara ini akan menurun dalam tempoh 20 tahun lagi.
“Memang payah untuk mengurangkan berat badan dan mengawal diabetes. Tetapi dengan kaunseling yang betul dan intervensi gaya hidup, hal ini boleh diatasi,” katanya.
Jelas Nor Azman lagi, ibu bapa seharusnya peka terhadap masalah obesiti dalam kalangan anak-anak kerana masalah obesiti di peringkat umur tersebut sukar dikawal kerana faktor perkembangan sel.
Berbeza pula seseorang yang mengalami kegemukan pada usia dewasa kerana ia kurang melibatkan penghasilan sel lemak baharu.
“Kegemukan pada usia kanak-kanak melibatkan penghasilan sel. Justeru adalah begitu sukar untuk mengurangkan berat badan mereka.
“Berbeza pula bagi golongan dewasa kerana kegemukan berlaku akibat pembesaran saiz sel tersebut dan lebih mudah untuk menurunkan berat badan,” tutur Nor Azmi.

Sumber: Kosmo!

Saturday, October 15, 2011 · 0 comments

Kecederaan boleh bawa maut


Khidmat terapi pertuturan juga diperlukan untuk membantu pesakit kelumpuhan korda vokal.


SUARA merupakan aset penting yang dimiliki setiap individu. Ia merupakan satu tenaga bunyi dengan getaran yang mempunyai ukuran gelombang tertentu dan terhasil daripada tekanan udara dari dalam binaan rongga tubuh manusia melibatkan paru-paru, korda vokal (vocal cord ) dan otot-otot di dalam peti suara (larinks) serta bahagian atas laluan (trek) suara iaitu lidah, lelangit, pipi (sinus) dan bibir .
Suara terhasil apabila berlaku getaran di korda vokal yang merupakan sepasang jaluran tisu di bahagian paling atas saluran pernafasan trakea di dalam kotak atau peti suara.
Korda vokal diselaputi oleh tulang rawan tiroid (thyroid cartilage) di bahagian hadapan dan tulang rawan aritenoid (arytenoids cartilage ) di bahagian belakang.
Korda vokal bersama-sama otot dan tulang rawan yang menyokongnya dipanggil larinks (kotak atau peti suara)
Dari segi biologi, larinks bertindak sebagai injap untuk melindungi bahagian pernafasan serta paru-paru.
Kedudukannya adalah bertepatan di mana saluran pernafasan dan makanan (esophagus) terpisah.
Bagi korda vokal, ia akan berada pada kedudukan membuka untuk membolehkan pernafasan berlaku dan menutup semasa menelan untuk mengelakkan makanan daripada memasuki paru-paru dan ia juga tertutup semasa bercakap.
Menurut Pakar Perunding Telinga, Hidung, Tekak dan Surgeri Kepala dan Leher, Kelana Jaya Medical Centre, Dr. Samril Bokari, sekiranya berlaku kecederaan saraf pada korda vokal ia mampu menjejaskan fungsi-fungsi yang dilakukan oleh korda vokal seperti pernafasan, menelan dan juga bertutur.
Tambah beliau lagi, kedua-dua korda vokal ini dikawal oleh saraf yang dipanggil Rekuren Larinks (Recurent Laryngeal Nerve).
"Jika terjadinya kerosakan pada saraf tersebut sama ada sepenuhnya (total paralysis) atau separa (paresis), kelumpuhan korda vokal boleh berlaku.
"Dalam keadaan tersebut korda vokal tidak dapat membuka dan menutup secara sepenuhnya bagi kelumpuhan separa manakala dalam kelumpuhan sepenuhnya korda vokal tidak bergerak langsung.
"Begitupun, apa yang boleh menyebabkannya membawa maut ialah sekiranya kedua-dua korda vokal tidak berfungsi ia akan mengakibatkan seseorang itu sukar untuk bernafas," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Jelas beliau lagi, antara penyebab berlakunya kelumpuhan korda vokal ialah ketumbuhan di peti suara, trauma di bahagian leher akibat kemalangan pembedahan leher (terutamanya kelenjar tiroid) dan pembedahan bahagian atas dada.
Selain itu, neurotoxin atau terdedah kepada bahan-bahan seperti berbahaya seperti lead, arsenik dan merkuri, jangkitan kuman, jangkitan virus, kecacatan kontigental serta idiopatik (tidak diketahui punca) juga boleh menyebabkan kelumpuhan korda vokal.
Menurut Dr. Samril, apabila korda vokal mengalami kelumpuhan, individu tersebut akan mendapati ada perubahan serta kelainan pada dirinya.
Katanya, kelumpuhan pada korda vokal terbahagi kepada dua iaitu kelumpuhan melibatkan sebelah korda vokal sahaja (unilateral) atau melibatkan kedua-dua belah korda vokal (bilateral).
Mengikut statistik, kelumpuhan unilateral adalah lebih kerap berlaku berbanding dengan kelumpuhan bilateral dan korda vokal sebelah kiri mempunyai kebarangkalian cedera atau lumpuh dua kali ganda berbanding sebelah kanan atas faktor anatomi saraf tersebut.
Daripada statistik tersebut juga turut mencatatkan perempuan mempunyai risiko 33 peratus lebih tinggi berbanding lelaki mengalami kelumpuhan ini.
Mengulas lanjut mengenai hal tersebut, simptom yang dapat dilihat jika seseorang mengalami kelumpuhan unilateral ialah suara yang termengah-mengah, suara menjadi kasar atau serak, tidak boleh bertutur dengan suara yang kuat dan kualiti suara juga berubah.
Manakala simptom bagi individu yang mengalami kelumpuhan bilateral pula mereka akan mengalami kesukaran bernafas, pernafasan berbunyi dengan kuat (stridor), kesukaran menelan menyebabkan batuk atau tersedak semasa makan serta komplikasi akibat tersedak makanan seperti pneumonia.
Begitupun, bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini berlaku, mereka yang mengalami simptom-simptom di atas bolehlah membuat pemeriksaan di mana-mana klinik atau hospital.
Malah menurut Dr. Samril lagi, kelumpuhan korda vokal boleh dikesan pada peringkat awal dengan melakukan pemeriksaan menggunakan kamera endoskopi sama ada dimasukkan melalui hidung ataupun mulut.
"Pemeriksaan menggunakan kamera endoskopi ini membolehkan korda vokal dilihat serta pergerakannya boleh diuji dengan mengeluarkan suara atau semasa rehat.
"Dalam masa yang sama, anatomi sekelilingnya juga boleh diperiksa atau dilihat untuk mengenalpasti sekiranya terdapat sebarang ketumbuhan," katanya.
Sudah pasti setiap penyakit ada cara rawatannya dan begitu juga bagi mereka yang mengalami kelumpuhan korda vokal.
Bagi pesakit kelumpuhan bilateral rawatannya ialah melalui pembedahan trakeostomi atau pembedahan laser (laser cordectomy), manakala kelumpuhan korda vokal unilateral boleh dirawat dengan i suntikan kolagen, lemak, tisu graf dan teflon.
Selain itu, khidmat terapi pertuturan juga diperlukan untuk membantu pesakit-pesakit kelumpuhan korda vokal menjalani rehabilitasi suara sebelum atau selepas pembedahan atau pun untuk kes-kes yang tidak memerlukan pembedahan.
Jadi dalam erti kata lain, korda vokal anda perlulah dijaga agar ia tidak mengalami sebarang kecederaan mahupun kelumpuhan agar tidak mengganggu sebarang tugasan mahupun komunikasi harian anda.

Source: www.utusan.com.my

Thursday, September 1, 2011 · 0 comments

Kawal keadaan penyakit

DATUK Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan, Pakar Perunding Gastroenterologi dan bekas Presiden Persatuan Gastroenterologi dan Heapatologi Malaysia (MSGH), memperkatakan tentang beberapa garis panduan berpuasa untuk umat Islam yang sakit atau uzur.
Wajib atau dikecualikan?
Umat Islam yang menghidap penyakit tidak kronik masih boleh berpuasa selagi ia tidak memudaratkan kesihatan. Bagaimanapun, mereka yang menghidap penyakit lebih serius dan perlu mengambil ubat setiap hari atau 2-3 kali sehari, mungkin perlu mendapatkan nasihat mengenai sama ada mereka masih boleh berpuasa, mungkin dengan mengubah masa mengambil ubat. Sebagai contoh, ubat seperti antibiotik, yang perlu diambil dalam jarak waktu yang tetap, boleh menimbulkan masalah kepada pesakit yang berpuasa. Sebagai alternatif, ia boleh digantikan dengan ubat dengan jangka hayat lebih panjang, iaitu ubat yang boleh diambil secara kurang kerap, seperti setiap 12 jam atau sekali sehari.
Berpuasa bagi pesakit kronik
Pesakit diabetes (kencing manis) yang boleh dikawal penyakit dengan diet sahaja boleh berpuasa. Malah, dengan berpuasa, terdapat kemungkinan keadaannya akan bertambah baik sedikit. Bagaimanapun, pesakit diabetes yang bergantung pada ubat dan juga kawalan diet, perlu berhati-hati jika mereka mahu berpuasa. Pesakit hendaklah mendapatkan nasihat perubatan daripada doktor mereka terlebih dahulu, khususnya mengenai pertukaran dos ubat. Di samping itu, jika mereka mengalami gejala paras gula darah rendah, mereka patut menghentikan puasa dengan serta-merta.
Pesakit jantung tetapi dalam keadaan stabil selagi mereka mengambil ubat, juga boleh berpuasa. Pesakit ini perlu menjalani pemeriksaan doktor terlebih dahulu, untuk memastikan mereka boleh berpuasa, dan untuk mendapatkan nasihat tentang pengambilan ubat mereka. Mereka tetap perlu mengambil ubat; tetapi waktu dan dosnya boleh ditukar untuk memastikan kesan terbaik. Sebagai contoh, jika pesakit biasanya mengambil aspirin bersama sarapan pada sebelah pagi, doktor boleh menukar waktunya kepada selepas berbuka puasa. Ini kerana aspirin boleh menyebabkan gastrik di kalangan sesetengah orang, dan keadaan perut kosong untuk tempoh yang lama semasa berpuasa boleh memburukkan lagi keadaan.
Mereka yang menghidap hipertensi, atau tekanan darah tinggi, juga boleh berpuasa, dengan syarat mereka mengambil ubat mereka mengikut jadual. Malah, hasil kajian dan penyelidikan yang dijalankan menunjukkan bahawa puasa membantu menurunkan tahap tekanan darah, meskipun faktor lain seperti rehat dan kurang tekanan juga boleh memainkan peranan. Pesakit perlu memastikan mereka berjumpa doktor untuk menukar dos ubat atau waktu pengambilan, dan pastikan doktor memberi kebenaran sebelum berpuasa.
Pendek kata, individu yang mengalami masalah perubatan dan perlu mengambil ubat setiap hari, seperti yang tersebut di atas, dan pesakit penyakit lain termasuk pesakit artritis, hipotiroidisme, atau asma, perlu mendapatkan kebenaran daripada doktor sebelum berpuasa. Sesetengah daripada individu ini masih boleh berpuasa, manakala mereka yang tidak stabil, atau perlu mengambil ubat 3-4 kali sehari, dinasihatkan supaya mengutamakan kesihatan mereka dan tidak berpuasa.
Terdapat juga keadaan kesihatan lain yang tidak kronik tetapi yang lebih membimbangkan semasa berpuasa. Satu daripadanya ialah batu karang dalam ginjal. Risiko mereka yang mempunyai sejarah batu karang dalam ginjal selalunya lebih tinggi semasa bulan Ramadan. Kurang minum air boleh menyebabkan penyahhidratan, yang seterusnya boleh meningkatkan risiko batu karang dalam ginjal. Justeru, individu yang mudah mendapat batu karang dan sukar untuk menguruskan keadaan mereka, dikecualikan berpuasa.
Penyakit penghadaman semasa Puasa

Penyakit penghadaman lazimnya meningkat sepanjang Ramadan. Masalah seperti pedih hulu hati, gastrik, dan ulser peptik meningkat semasa bulan puasa. Peningkatan tahap asid dalam perut kosong memburukkan lagi keadaan yang tersebut. Dengan mengambil makanan yang sihat dan seimbang semasa sahur dan iftar, kita boleh mengurangkan gangguan ini. Sebaik-baiknya, elakkan makanan berempah, makanan berlemak, dan juga minuman berkafeina bagi mengelakkan gejala penyakit menjadi lebih buruk.

info Utusan_Malaysia

Sunday, July 3, 2011 · 0 comments

Jangan pandang ringan pneumococcal

Oleh ZUHAYATI YAZID


KANAK-kanak perlu diberi suntikan vaksin bagimengelakkan jangkitan PnD. - Gambar hiasan

TAHUKAH anda bahawa dalam setiap minit, seorang kanak-kanak di seluruh dunia meninggal dunia akibat Pneumococcal (PnD)?

Biarpun simptomnya nampak ringkas seperti demam berpanjangan dan batuk, namun sikap ibu bapa yang lambat membawa anak-anak ke hospital adalah penyebab utama penyakit ini menjadi serius.

Justeru, ibu bapa dan orang ramai perlu diberi pendidikan tentang bahaya penyakit yang boleh membawa maut itu.

Menurut Pakar Runding Pediatrik, Hospital Pakar Damansara, Datuk Dr. Musa Mohd. Nordin, biarpun ia berbahaya, hanya segelintir daripada golongan ibu bapa di Malaysia menyedari betapa serius penyakit itu.

Selanjutnya...

Thursday, June 9, 2011 · 0 comments

Usah lengah rawat strok

SEGERA ke hospital jika merasakan diri mula menunjukkan tanda-tanda awal serangan angin ahmar atau strok.
Jangan ada istilah tunggu sebentar apabila dikesan amaran awal itu kerana sikap melengah-lengahkan sebenarnya akan membawa kesan lebih buruk.
Perkara ini mungkin pernah berlaku kepada orang tua yang biasanya mahu menunggu anak pulang dahulu dari tempat kerja sebelum membawa mereka menjalani pemeriksaan selanjutnya di hospital.
''Rawatan segera adalah langkah terbaik bagi menyelamatkan seseorang itu dari menjadi mangsa serangan angin ahmar,'' kata Penasihat Neorologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Julia Shahnaz Merican.
Sehubungan itu, sesiapa sahaja perlu peka dengan tanda-tanda serangan angin ahmar yang kini menjadi pembunuh nombor empat di Malaysia.
Dr. Julia memberitahu, setakat ini 70 peratus daripada mangsa serangan angin ahmar tidak menyedari diserang penyakit itu.
Katanya, antara tanda-tandanya ialah apabila merasa diri lemah atau kebas secara tiba-tiba pada muka, lengan dan di sebelah bahagian badan.
''Selain itu penglihatan juga menjadi kabur secara tiba-tiba pada sebelah atau kedua-dua mata,'' katanya ketika menyampaikan ceramah di Forum Angin Ahmar anjuran Persatuan Angin Ahmar Kebangsaan Malaysia (NASAM) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tanda-tanda awal lain termasuk mengalami kesukaran untuk bertutur dan perkataan yang disebut jadi tidak jelas.
''Jika anda tiba-tiba menghadapi kecelaruan mental atau sawan epilepsi, semut-semut di bahagian dagu, clumsiness, hilang deria, pening kepala, hilang imbangan badan dan sakit kepala yang teruk tanpa sebab maka segera jalani rawatan,'' katanya.
Dr. Julia berkata, satu tanda yang jelas angin ahmar akan berlaku adalah apabila berlakunya Serangan Iskemia Sementara (TIA) atau mini angin ahmar iaitu gangguan sementara bekalan darah ke bahagian tertentu otak.
''Sekalipun gejala ini lazimnya hilang sepantas ia datang di mana pesakit akan pulih tetapi rawatan perubatan perlu kerana jika dibiarkan akan menyebabkan kerosakan otak lebih teruk,'' katanya.
Dr. Julia berkata, sekalipun risiko serangan ahmar lebih tinggi ke atas golongan tua tetapi orang muda tidak boleh memandang remeh kerana dia pernah merawat pesakit yang berusia 24 tahun.
Jelas Dr. Julia, serangan angin ahmar sehingga kini telah mula menyerang mereka yang berusia sekitar umur 30-an, 40-an dan 50-an.
Sehubungan itu, katanya, setiap orang perlu berwaspada dengan tekanan darah masing-masing khususnya kepada penghidap hipertensi.
''Tekanan darah tinggi sebenarnya yang menjadi punca utama serangan angin ahmar selain mereka yang menghidap penyakit jantung dan diabetes,'' katanya.
Sementara itu, Pakar Pertuturan dan Pantologi Bahasa dari Persatuan Pertuturan-Bahasa dan Pendengaran Malaysia (MASH), Cecilia Santiago berkata, 30 peratus daripada pesakit yang diserang angin akan menghadapi masalah untuk berkomunikasi.
Katanya, ini kerana serangan angin ahmar biasanya berlaku di bahagian sebelah kiri otak yang boleh menjejaskan keupayaan bertutur dan keupayaan dalam bahasa.
Sehubungan itu, katanya, terapi pertuturan amat penting dalam usaha memulihkan keupayaan mangsa angin ahmar supaya boleh berkomunikasi dengan betul.
''Disebabkan pesakit angin ahmar sukar bertutur dan mengeluarkan suara atau bunyi yang difahami oleh orang lain maka keluarga perlu berusaha untuk membantu mereka,'' katanya.
Katanya, pesakit boleh dibantu untuk menulis, menggunakan bahasa isyarat, melukis supaya dapat berkomunikasi semula.
Bagaimanapun ia tidak mudah untuk dilakukan memandangkan pesakit biasanya akan menghadapi masalah untuk memahami atau memilih perkataan, angka atau isyarat dengan betul.
Selain itu, katanya, pesakit juga biasanya mengalami kesukaran untuk mengawal lidah dan menelan.
''Otot-otot pada lidah dan tekak adalah otot-otot yang sama digunakan untuk menghasilkan bunyi atau suara.
Sehubungan itu, kata Cecilia, terapi yang membantu kepada pertuturan juga akan membantu proses untuk menelan makanan kepada pesakit.
Tambahnya, ahli keluarga tidak perlu bercakap dengan nada yang kuat dengan pesakit sebaliknya gunakan perkataan yang senang dan mudah supaya dapat difahami dengan jelas oleh mereka.

Friday, March 25, 2011 · 0 comments

Gabungan vitamin untuk kulit

Soalan: Saya mengamalkan pengambilan vitamin C setiap hari sebagai anti oksida selain dikatakan baik untuk kesihatan dan juga kulit. Bagaimana pula dengan vitamin lain seperti E, beta-karoten, mineral zink yang seringkali digabungkan bersama?
Jawapan
Tidak dapat dinafikan Vitamin C mungkin merupakan vitamin paling dikenali dan sememangnya layak untuk dihargai kerana fungsinya yang pelbagai kepada kesejahteraan tubuh, termasuklah pemulihan dan pertumbuhan tisu-tisu, mengekalkan kesihatan gusi, menyokong sistem imun dan membantu penyerapan zink. Ramai yang mengamalkan pengambilan vitamin C setiap hari dalam usaha merendahkan risiko mendapat serangan jangkitan ringan.
Hasil penyelidikan juga mendapati ia berpotensi mengurangkan tempoh demam selesema dengan menguatkan sistem imun. Bagi kebanyakan wanita pula, pengambilan vitamin C sebagai amalan harian begitu popular untuk kecantikan kerana ia merangsang kesihatan dan kecantikan kulit melalui penghasilan kolagen.
Bagi mereka yang mempunyai masalah jerawat, paras vitamin A juga lebih rendah dalam plasma dan juga kulit. Ujian menunjukkan kaitan antara kekurangan paras vitamin A dalam plasma dengan peningkatan jerawat yang teruk. Mereka yang mengalami masalah jerawat serius mempunyai paras konsentrasi plasma vitamin A dan E lebih rendah. Keadaan ini berbeza berbanding mereka yang kurang berjerawat atau mereka yang sihat.
Manfaat penting lain hasil daripada pengambilan vitamin E, termasuklah:
"Vitamin E perlu untuk mengekalkan kesihatan dan kekuatan jantung, dinding kapilari yang sihat.
"Sebagai anti oksida larut lemak, ia menjaga tisu-tisu pelindung berlemak yang mengelilingi organ-organ utama dan mencegah penyakit degeneratif.
"Ia mengandungi bahan anti penuaan yang membantu merangsang kulit yang lembap dan lembut dengan menguatkan lapisan pelindung kulit.
Selain vitamin E, vitamin C juga banyak digabungkan dengan vitamin penting lain seperti Beta karoten (pro-vitamin A) dan beberapa mineral lazim seperti zink dan selenium untuk tindakan anti oksida yang poten.
Beta karoten juga dikenali sebagai pro-vitamin A, yang akan ditukarkan kepada vitamin A apabila diperlukan. Beta-karoten merupakan anti oksida berkuasa dan boleh meningkatkan fungsi sistem imun.
Selenium dianggap sebagai penemuan baru dalam dunia anti oksida. Ia diperlukan untuk pembentukan enzim gluthathione peroxidase yang berperanan penting untuk melawan radikal bebas. Selenium membantu mengekalkan mata yang sihat, kulit, rambut, jantung dan sistem reproduktif, selain mengekalkan hati agar berfungsi secara optimum.
Mereka yang mengalami jerawat terutamanya yang serius mungkin juga kekurangan zink. Ia juga bermanfaat kepada kulit bermasalah atau jerawat memandangkan ia diperlukan untuk penyembuhan luka dan mengawal penghasilan minyak melalui kelenjar minyak.
Gabungan vitamin dan nutrien antioksida ini sesuai untuk mereka yang ingin memperolehi kulit sihat, tinggal dalam persekitaran tercemar dan pendedahan berlebihan kepada cahaya matahari atau radiasi UV. Mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah juga akan memperolehi manfaat dengan amalan pengambilan formulasi ini. Gabungan beta karoten, vitamin C, E, zink dan selenium yang turut ditambah dengan kumpulan vitamin B seperti vitamin B1, B5 dan B6 bermanfaat untuk melengkapkan tindakan sinergistik anti oksida untuk membantu tubuh melawan radikal bebas.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp

· 0 comments

Sayangi jantung anda


Lebihkan makan sayur-sayuran dan buah-buahan untuk cara pemakanan yang seimbang. - Gambar hiasan


PADA dasarnya, penyakit jantung adalah pembunuh senyap di kalangan wanita yang boleh diibaratkan sebagai bom jangka yang menunggu masa untuk meletup.
Menurut data yang dikeluarkan oleh Pemantauan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) Malaysia 2005/2006, faktor risiko NCD yang jelas, seperti hiperkolesterolemia, kenaikan glukosa darah, obesiti (kegemukan) dan sebagainya adalah lebih tinggi di kalangan wanita berusia 25 hingga 64 tahun berbanding lelaki dalam kumpulan usia yang sama.
Menurut Pakar Perunding Kardiologi, Datuk Dr. Khoo Kah Lin, yang juga Pengarah Yayasan Jantung Malaysia (YJM), penyakit jantung adalah pembunuh nombor satu di kalangan wanita di Malaysia dan di seluruh dunia sejak berpuluh-puluh tahun lamanya.
"Penyakit jantung sentiasa dianggap sebagai penyakit lelaki kerana kaum lelaki mendapat penyakit ini 10 tahun sebelum wanita.
"Wanita dilindungi daripada penyakit jantung oleh tahap estrogen yang tinggi. Bagaimanapun, ini tidak bermakna wanita 'imun' atau lali kepada penyakit ini,” jelasnya.
Tambah Dr. Kah Lin, tahap estrogen turun apabila wanita sudah menopaus atau putus haid. Tahap trigliserida dan LDL (kolesterol jahat) di kalangan wanita yang berumur juga naik, bukan sahaja disebabkan menopaus tetapi juga disebabkan kenaikan berat badan dan penuaan. Semua ini menaikkan risiko penyakit jantung di kalangan wanita.
Jadi, sebelum putus haid, risiko wanita mendapat sakit jantung adalah lebih rendah berbanding lelaki.
Namun, keadaan berubah apabila putus haid. Risiko wanita mendapat penyakit jantung kini setara dengan lelaki.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kesedaran umum terhadap kesihatan wanita, khususnya berkaitan kanser payu dara dan kanser serviks (pangkal rahim), telah meningkat.
Kini wanita lebih menyedari tentang penyakit ini dan tahu cara untuk mengambil langkah pencegahan yang perlu untuk menjaga kesihatan mereka.
Tetapi mengapa penyakit pembunuh nombor satu di kalangan wanita ini tidak mendapat perhatian yang sewajarnya?
Inilah yang mendorong Kah Lin berusaha meningkatkan kesedaran di kalangan wanita, khususnya mereka yang berisiko tinggi. Baru-baru ini, Kah Lin sempat ditemuramah tentang usahanya meningkatkan kesedaran sakit jantung di kalangan wanita dan risiko yang dihadapi golongan ini.
Soalan
Walaupun mempunyai jadual tugas yang sibuk, Datuk tetap memainkan peranan aktif untuk menggerakkan kempen Go Red for Women di Malaysia sempena Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac. Mengapa?
Jawapan
Sebagai ahli Persekutuan Jantung Dunia, YJM ingin memainkan peranan dalam usaha menonjolkan penularan penyakit jantung di kalangan wanita. Sebagai seorang pakar kardiologi, saya berpendapat bahawa kesihatan jantung di kalangan wanita patut diberi lebih perhatian.
Wanita menjaga semua orang di keliling mereka, tetapi mereka sering mengabaikan diri mereka sendiri dalam proses menjaga orang lain.
Kempen antarabangsa Go Red for Women bertujuan untuk mengurangkan penyakit kardiovaskular (CVD) di kalangan wanita dengan meningkatkan kesedaran global dan komitmen kepada CVD di kalangan wanita.
Soalan
Bukankah penyakit jantung lebih kerap menyerang lelaki daripada wanita?
Jawapan
Pada umumnya, penyakit jantung memang dianggap menyerang kebanyakan lelaki, malah pakar penjagaan kesihatan profesional sendiri memberi lebih tumpuan kepada lelaki daripada wanita.
Salah tanggapan inilah sebenarnya yang menyebabkan kita perlu mendidik orang ramai amnya dan wanita Malaysia khususnya, tentang serangan penyakit jantung di kalangan wanita.
Seorang dalam setiap empat wanita Malaysia mati akibat penyakit jantung yang juga merupakan punca utama kematian di kalangan wanita. Kematian akibat sakit jantung adalah 2.5 kali lebih tinggi daripada kematian akibat semua penyakit kanser. Malah, dari tahun 1990 hingga 2005, penyakit jantung di kalangan wanita meningkat sehingga 135 peratus.
Soalan
Mengapa kadar kematian wanita yang disahkan sakit jantung begitu tinggi?
Jawapan
Biasanya saiz wanita adalah lebih kecil berbanding dengan lelaki. Ini menyukarkan rawatan, terutamanya apabila menggunakan kaedah angioplasti dan pembedahan bypass kerana saluran darah adalah lebih kecil.

Soalan

Apakah punca utama penyakit jantung di kalangan wanita?
Jawapan

Faktor risiko penyakit jantung adalah sama di kalangan lelaki dan wanita. Faktor yang paling tinggi menyumbang kepada penyakit jantung ini adalah Diabetes Mellitus, yang turut dikenali dengan risiko bersamaan kardiovaskular.
Ini bermakna, sekiranya anda merupakan pesakit diabetes, besar kemungkinan anda mempunyai penyakit jantung. Selain itu, obesiti, kolesterol tinggi, hipertensi, pengambilan lemak secara berlebihan, kurang bersenam, dan merokok turut menjadi faktor penyumbang kepada penyakit jantung.
Tambahan pula, risiko CVD di kalangan wanita menjadi lebih tinggi apabila usia mereka meningkat, disebabkan perubahan fisiologi yang dikaitkan dengan usia pertengahan dan menopaus, iaitu perlindungan semula jadi mereka daripada penyakit jantung.
Estrogen berkurangan apabila putus haid. Namun, wanita lebih muda juga perlu menjaga kesihatan jantung mereka.
Soalan
Saya dapat tahu kesedaran terhadap gejala awal serangan jantung boleh menyelamatkan nyawa. Apakah gejala jelas yang menandakan serangan jantung di kalangan wanita?
Jawapan

Faktor risiko di kalangan wanita adalah sama seperti lelaki, tetapi wanita yang mengalami serangan jantung mungkin tidak menunjukkan tanda amaran seperti lelaki. Angina atau lebih dikenali sebagai sakit dada, adalah tanda amaran awal serangan jantung.
Anda akan rasa himpitan dalam dada secara mendadak yang kemudian merebak ke lengan.
Ini adalah kerana jantung anda tidak mendapat cukup oksigen disebabkan pengumpulan plak dalam arteri jantung. Selain daripada itu, anda akan merasa sakit di bahagian rahang, bahagian depan leher dan juga lengan, terutamanya lengan kiri, kadang-kala sakit pada kedua-dua lengan dalaman. Gejala-gejala yang lain termasuk sukar bernafas dan keletihan.
Soalan

Seperti yang sering dikatakan, pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati. Jadi, soalan penting ialah bagaimana saya, sebagai seorang wanita, boleh mencegah serangan jantung?
Jawapan
Mengekalkan berat badan yang sihat adalah cara yang berkesan untuk menjaga kesihatan jantung. Amalkan gaya hidup sihat dengan bersenam secara sederhana setiap hari selama 30 minit. Makan secara sederhana dan ambil makanan yang sihat untuk jantung.
Pilih makanan serat tinggi dan rendah lemak dan kurangkan pengambilan garam. Satu lagi langkah pencegahan yang mudah tetapi sangat berkesan ialah berhenti merokok, kerana merokok merosakkan jantung dan saluran darah.
Kawal tekanan darah dan tahap kolesterol andadan ketahui sejarah keluarga anda sama ada terdapat anggota keluarga yang menghidap diabetes, tekanan darah tinggi dan sakit jantung dalam usia muda (bawah usia 55 tahun bagi lelaki dan bawah usia 65 tahun bagi wanita).
Ini seharusnya memberi isyarat amaran awal untuk anda memberi lebih perhatian kepada kesihatan jantung anda.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp

Friday, March 11, 2011 · 0 comments

'Terkucil' tidak kira usia


Sukar mengawal kencing bukan saja menjadi masalah kesihatan malah menjejaskan aktiviti sosial seseorang.


Soalan umum untuk lelaki dan wanita dewasa. Adakah anda mengalami:
* rasa seperti selalu ingin membuang air kencing atau tiba-tiba terkencing (kebocoran)
* kesukaran membuang air kecil
* kencing tak lawas
* sakit di kawasan pelvik
* kerap bangun malam untuk membuang air kecil (nokturia)
* sukar mengawal air kencing atau
* hematuria (kehadiran sel darah merah pada air kencing)
Jika jawapannya ya, anda perlu bertemu doktor untuk mendapatkan rawatan dan rundingan segera kerana berkemungkinan mengalami gangguan kencing yang disebabkan beberapa perkara.
Terkencing atau juga disebut terkucil mungkin masalah biasa bagi mereka yang berusia. Bagaimana pula jika orang muda atau pertengahan umur yang mengalaminya?
Punca
Pakar Urologi, Dr. Cyril Natarajan berkata, satu kajian yang dibuat pada 2005 menunjukkan hampir 46 peratus lelaki dan wanita Asia berumur antara 40 hingga 50 tahun mempunyai simptom-simptom seperti di atas.
Di Malaysia katanya, keadaan ini merupakan masalah kesihatan yang sering dialami tidak kira jantina.
"Sebenarnya ia boleh menyerang tidak kira usia, namun peningkatan umur mempunyai kaitan dengan masalah ini," kata Dr. Natarajan dalam satu sidang media yang dianjurkan oleh Sanaxeen.
Menurut beliau, kesedaran mengenai gangguan buang air kecil masih rendah di kalangan rakyat Malaysia, walaupun data menunjukkan 30 peratus wanita negara ini menderita masalah ini.
Mereka yang mengalami masalah ini juga katanya jarang mendapatkan pandangan dan nasihat pakar yang berkaitan dan membiarkan sahaja ia sehingga terlewat.
Menurut beliau, fungsi urinari yang sihat bergantung kepada rangkaian neuro otot kompleks yang terdapat pada saluran urinari bawah.
Kelemahan di bahagian pundi kencing dan uretra akan menyumbang kepada LUTS (Simptom Gangguan Salur Bawah Perkumuhan).
Masalah kawalan air kencing
* sukar mengawal pengeluaran air kencing dan berlaku 'kebocoran' melibatkan masalah sosial dan kebersihan
* terpaksa bergegas membuang air kecil
* disebabkan batuk, bersin atau ketawa kuat.
Ia berlaku disebabkan aliran darah yang tidak betul di kawasan berkaitan, jangkitan kuman atau keradangan dan juga pengecutan otot secara umum.
* Ia juga disebabkan masalah pundi kencing terlalu aktif (OAB).
Bagaimana ia berlaku?
Bagi wanita, masalah di bahagian organ pelvik (pengecutan) atau juga disebut rahim jatuh menyumbang kepada gangguan kawalan kencing.
"Ia disebabkan salah satu simptom sama ada di bahagian dinding vagina dalam atau luar atau hujung vagina dan juga boleh berlaku selepas pembedahan membuang rahim (histerektomi)," kata beliau.
Namun di kalangan lelaki pula, 20 hingga 30 peratus daripada mereka yang mengalami masalah ini berkaitan dengan masalah prostat seperti hyperplasia prostatik benigna (BPH).
Kata Dr. Natarajan, pembesaran kelenjar prostat akan menekan salur kencing menyebabkan lelaki tersebut sukar untuk mengosongkan pundi kencing dengan sepenuhnya.
Ini menyebabkan saki-baki air kencing kekal di dalam pundi dan pesakit terpaksa berulang alik ke tandas dengan kerap.
Rawatan tanpa pembedahan
Selain pembedahan, masalah kawalan pundi kencing kata Dr. Natarajan boleh dirawat secara perlahan melalui gaya hidup yang sihat.
"Hentikan merokok atau mengambil minuman keras (bagi mereka yang berbuat demikian). Amalkan diet yang seimbang, elakkan atau kurangkan minuman berkafein dan bersenam mampu membantu mengatasi masalah ini," kata beliau.
Menurutnya, rawatan awal lebih baik kerana pesakit boleh mengawalnya dengan lebih mudah. Pesakit juga katanya boleh mengamalkan jadual membuang air kecil mengikut tempoh tertentu bagi melaraskan kembali keadaan tersebut.
Terdapat juga rawatan perubatan yang mampu membantu seperti ubat yang mengandungi antikolinergik, antikemurungan trisilik, serotonin, hormon antidiuritik dan terapi estrogen setempat. Selain itu perubatan alternatif seperti ekstrak debunga juga boleh membantu.
Mengenai Sanaxeen
Mengandungi komponen biologikal seperti mineral, unsur surih, asid amino, asid nukleik dan enzim yang membantu menyeimbang nutrien sel pertumbuhan semula. Ia membantu mengekalkan kesihatan prostat dan pundi kencing. Jenama ini diyakini secara klinikal melebihi 50 tahun dalam membantu mengurangkan simptom pesakit LUTS.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_04.htm

· 0 comments

Risiko penghidap diabetes mati awal


PESAKIT diabetes terdedah kepada kehadiran penyakit lain dalam tubuh.


KENCING manis atau diabetes dipercayai meningkatkan risiko kematian yang dikaitkan dengan saluran darah seperti kanser payu dara dan radang paru-paru.
Kes yang pernah dirujuk kepada sebuah pusat kesihatan di New York membuktikan penghidap diabetes yang berusia 50 tahun meninggal dunia enam tahun lebih awal berbanding individu yang tidak menghidap penyakit itu.
Kajian yang dijalankan untuk menyukat tahap diabetes itu mendapati penyakit tersebut turut meningkatkan risiko kematian pramatang yang disebabkan kegagalan fungsi sistem saluran darah.
Ujar seorang penyelidik dari Universiti Cambridge di Britain, Dr. John Danesh, diabetes semakin mengancam kesihatan masyarakat dunia.
"Ketika kebanyakan orang beranggapan masalah jantung menjadi punca utama kematian, diabetes pula mengejutkan kita apabila muncul sebagai pemangkin utama kepada penyakit lain di dalam tubuh manusia," katanya.
Tambahnya, perokok jangka panjang juga menjadi penyebab pengurangan jangka hayat manusia selama 10 tahun berbanding individu yang tidak merokok.
Diabetes tersenarai sebagai tujuh penyakit utama penyebab kematian di Amerika dengan 26 juta rakyatnya menghidap penyakit itu.
Diabetes terjadi apabila kadar insulin dalam badan dihasilkan terlalu sedikit atau langsung tidak boleh digunakan untuk menghasilkan gula dalam darah.
Selain itu, diabetes dikaitkan dengan obesiti melampau yang menyebabkan risikonya bertambah dua kali ganda untuk pesakit diserang lemah jantung atau strok.
Namun, mereka juga mendapati 25 peratus pesakit diabetes lebih berisiko menderita kanser dan maut akibat kehadiran pelbagai penyakit lain termasuk jangkitan, komplikasi jantung dan buah pinggang selain kemalangan.
Dalam kes jangkitan penyakit berbahaya, diabetes melemahkan sistem imunisasi badan pesakit sekali gus memudahkan peluang virus menyerang sistem tubuh.
Diabetes juga boleh menyebabkan masalah penglihatan dan kegagalan sistem saraf pada kaki seterusnya mendorong seseorang itu terlibat dalam kemalangan.

Source: http://www.kosmo.com.my

Saturday, March 5, 2011 · 0 comments

Pendengaran terjejas

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
Bahagian dalam telinga
Bahagian dalam telinga
BERAPA kerap doktor memeriksa telinga anak anda setiap kali anda membawa si kecil ke klinik? Setiap kali, kadangkala, tidak pernah atau anda tidak ingat? Tidak mengapa, tetapi selepas ini diharap anda ingat untuk meminta doktor memeriksa telinga anak walaupun telinganya kelihatan tiada masalah.
Mengapa? Telinga kanak-kanak lebih kerap mengalami jangkitan berbanding orang dewasa dan ada jangkitan tidak menunjukkan gejala tetapi doktor boleh mengesan ketidak normalan pada telinga si kecil, terutama bagi yang masih belum pandai bercakap.


Jangkitan telinga adalah penyakit kedua lazim berlaku pada kanak-kanak selepas selesema. Jenis jangkitan telinga paling kerap ialah jangkitan pada telinga tengah, dipanggil otitis media dan biasanya disebabkan oleh bakteria.

Secara global, 83 peratus kanak-kanak akan mendapat sekurang-kurangnya sekali otitis media sebelum berumur tiga tahun dan 10 hingga 20 peratus kes membabitkan bayi berumur bawah 12 bulan. Kajian mendapati 60 hingga 80 peratus kes otitis media berlaku di negara membangun, termasuk Malaysia.

Senario di Malaysia tidak jauh berbeza. Menurut Ketua Jabatan Pengurusan Maklumat Kesihatan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Madya Dr Saperi Sulong, berdasarkan laporan Teknologi Penilaian Kesihatan Malaysia 2008 (MaHTAS) di bawah program perubatan Kementerian Kesihatan, setiap tahun sebanyak 500,000 kes otitis media berlaku di kalangan kanak-kanak berumur kurang dua tahun.

Daripada jumlah itu 13.8 peratus membabitkan kanak-kanak prasekolah dengan 18 peratus kes dicatatkan di bandar dan 9.5 peratus di luar bandar.

Kira-kira 50 peratus kes jangkitan disebabkan bakteria pneumokokus dan dianggarkan 75 peratus kanak-kanak mengalami sekurang-kurangnya sekali jangkitan menjelang umur tiga tahun.

“Kanak-kanak yang dihantar ke pusat jagaan harian atau tinggal di kawasan padat penduduk lebih terdedah untuk mendapat otitis media,” katanya.

Oleh kerana pusat jagaan kanak-kanak sering menjadi tempat penularan penyakit, khususnya jangkitan saluran pernafasan atas (URTI), tidak hairan jika di Singapura ia juga dipanggil ‘pusat flu’ dan pakar berpendapat jumlah otitis media boleh dikurangkan jika kes URTI dapat dikawal.

Ketua Jabatan Otorinolaringologi, Pusat Perubatan St Luke di Filipina, Dr Gretchen Locsin berkata, otitis media boleh disebabkan jangkitan bakteria atau virus.

Bahagian telinga yang dijangkiti akan membengkak dan cecair boleh berkumpul di belakang gegendang telinga. Ini menyebabkan telinga menjadi sakit, malah kanak-kanak boleh demam kerana jangkitan ini.

Otitis media biasanya disebabkan bakteria dan berlaku selepas kanak-kanak mengalami sakit tekak atau lain-lain jangkitan saluran pernafasan atas; dan bakteria ini boleh merebak ke telinga tengah.

Jika jangkitan saluran pernafasan atas disebabkan oleh virus (contohnya selesema atau flu), bakteria juga boleh menjangkiti kanak-kanak berkenaan dan menyebabkan otitis media.

Keadaan ini dipanggil jangkitan sekunder dan ia juga akan menyebabkan pengumpulan cecair di belakang gegendang telinga.

“Secara semula jadi, sel dalam telinga tengah akan menghasilkan cecair yang berfungsi mencegah kemasukan organisma. Biasanya cecair ini akan kering sendiri apabila ia mengalir keluar melalui tiub eustacia dan masuk ke dalam tekak.

“Namun apabila tiub eustacia ini membengkak, cecair di dalamnya akan terperangkap — satu keadaan yang sesuai untuk pembiakan bakteria atau virus dan menyebabkan keradangan.

“Faktor kedudukan tiub eustacia kanak-kanak lebih datar berbanding orang dewasa, saiz yang kecil dan pendek menyebabkan kanak-kanak lebih mudah mendapat jangkitan telinga. Ia mudah dilihat kerana otitis media membuatkan gegendang telinga pesakit menjadi merah dan bengkak,” katanya.

Ada dua jenis jangkitan telinga tengah iaitu jangkitan akut (otitis media akut, OAM) dan otitis media dengan kehadiran cecair (OME).

Dalam otitis media akut, bahagian telinga yang dijangkiti membengkak dan sakit. Jenis kedua iaitu otitis media dengan kehadiran cecair bermakna ada cecair terus terperangkap dalam telinga walaupun jangkitan berakhir.

Ia menyebabkan telinga sukar melawan jangkitan baru dan cecair yang terperangkap boleh menjejaskan pendengaran anak anda.

“Jangkitan telinga boleh berlaku berulang kali. Jika seseorang pesakit mengalami lebih enam episod otitis media dalam tempoh enam bulan, ia dikategorikan sebagai otitis media kronik.

“Keadaan ini hendaklah dielak kerana otitis media akan membawa kepada pelbagai masalah lain,” katanya pada sidang Kolaborasi Serantau Untuk Pencegahan Otitis Media Akut anjuran bersama Institut Kesihatan Nasional, Universiti Filipina Manila dan Persatuan Paediatrik Tropika Antarabangsa.

Menurutnya, otitis media harus diberikan rawatan sewajarnya kerana ia boleh menjejaskan pendengaran kanak-kanak. Apabila pendengaran terjejas, proses pembelajaran juga akan menjadi perlahan.

Akibatnya kanak-kanak akan menghadapi masalah dalam bilik darjah, prestasi pelajaran merosot dan perkembangan sosialnya juga terbantut. Keadaan ini membuatkan kanak-kanak yang mendapat otitis media sering dilabel bagai ‘lembap’.

Jika tidak dirawat segera, otitis media juga boleh menyebabkan komplikasi lebih serius seperti kehilangan pendengaran, kelumpuhan saraf muka, gegendang telinga berlubang, jangkitan telinga kronik (jika berlaku berulang kali), jangkitan merebak ke tulang belakang telinga, meningitis (keradangan selaput otak) dan kehadiran nanah atau sista dalam telinga.

Faktor risiko
Ada beberapa faktor risiko utama otitis media iaitu:


  • Umur — Kanak-kanak berumur enam hingga 18 bulan paling mudah mendapat jangkitan telinga. Masalah jangkitan telinga adalah masalah biasa bagi kanak-kanak dalam lingkungan umur empat bulan hingga empat tahun






  • Kanak-kanak ditempatkan dalam kumpulan besar seperti di pusat jagaan harian lebih mudah diserang selesema berbanding yang dijaga di rumah. Oleh itu mereka lebih mudah mendapat jangkitan telinga






  • Terdedah pada asap rokok atau dibesarkan dalam persekitaran dengan kualiti udara rendah. Kanak-kanak yang terdedah kepada udara mengandungi asap rokok atau tercemar mempunyai risiko lebih tinggi mengalami jangkitan






  • Kerap mendapat jangkitan saluran pernafasan atas (contohnya selesema dan flu)






  • Sejarah keluarga. Jika anda, pasangan atau ada ahli keluarga pernah mendapat jangkitan telinga, bermakna anak anda juga berpeluang mengalami masalah sama






  • Posisi badan ketika disusukan. Bayi yang menyusu dari botol sambil berbaring dikatakan lebih mudah mendapat jangkitan berbanding bayi yang menyusu dalam kedudukan badan tegak atau kedudukan kepala lebih tinggi daripada badan.
    Justeru, pakar menyarankan ibu memberi susu badan secara eksklusif sekurang-kurangnya selama enam bulan untuk menguatkan imun badan bayi dan mencegah masalah otitis media.

    Tanda
    Oleh kerana kebanyakan kes berlaku pada kanak-kanak kecil yang belum tahu mengadu, ibu bapa perlu memberi lebih perhatian kepada tanda ditunjukkan anak seperti:






  • Anak menarik-narik telinganya






  • Anak menjadi cerewet dan kerap menangis






  • Anak sukar tidur






  • Anak enggan makan






  • Demam (terutama bayi dan kanak-kanak kecil)






  • Ada cecair meleleh daripada telinga






  • Anak mengalami masalah keseimbangan






  • Anak mengalami masalah pendengaran atau lambat bertindak balas terhadap bunyi perlahan

    Rawatan
    Oleh kerana otitis media boleh menyebabkan pelbagai masalah, rawatan segera perlu diberi. Biasanya doktor akan memberikan antibiotik untuk satu jangka masa pendek, terutama jika kanak-kanak masih kecil dan tidak sihat.

    Selepas mendapat jangkitan telinga, bahagian tengah telinga anak anda mungkin mengandungi cecair selama beberapa minggu.

    Dalam tempoh ini anak anda mengalami sedikit masalah pendengaran dan cecair dalam telinganya akan hilang dalam masa dua bulan. Jika anak anda masih menunjukkan gejala keresahan dan tidak mendengar dengan baik, bawa anak berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

    Ini kerana kanak-kanak boleh mendapat beberapa kali jangkitan telinga dalam masa setahun. Bagaimanapun, jika masalah tidak berkurang selepas beberapa kali berjumpa doktor keluarga, minta supaya anak anda dirujukkan kepada pakar kanak-kanak atau pakar telinga.

    Seperkara yang ibu bapa perlu ingat ialah, bukan semua pesakit otitis media memerlukan antibiotik. Doktor akan membuat pertimbangan sama ada anak anda memerlukannya atau tidak, dan jika tidak diberi, jangan meminta kerana antibiotik tidak berguna jika masalah disebabkan jangkitan virus.

    Dalam keadaan tertentu — jika antibiotik tidak berkesan, doktor mungkin memasukkan tiub kecil pada telinga anak bagi membolehkan cecair yang terperangkap di belakang gegendang mengalir keluar.

    Ibu bapa tidak perlu bimbang kerana tiub ini akan keluar sendiri selepas satu tempoh dan gegendang telinga yang berlubang (kesan cucukan tiub) akan sembuh dan tertutup kembali. Pendengaran anak juga akan kembali normal.

    “Masalah dihadapi sekarang ialah penggunaan antibiotik berlebihan. Kita khuatir ia meningkatkan daya ketahanan bakteria terhadap antibiotik. Maknanya pesakit memerlukan antibiotik lebih kuat untuk melawan jangkitan bakteria,” kata Dr Gretchen.

    Bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, jangkitan telinga berhenti apabila kanak-kanak membesar dan mereka mempunyai pendengaran baik. Namun kaedah paling baik ialah mencegah jangkitan daripada berlaku.

    Pencegahan
    Mencegah otitis media bermakna kita boleh mengurangkan masalah penghasilan bakteria yang mempunyai daya ketahanan tinggi terhadap antibiotik; beban ibu bapa (daripada segi pengambilan cuti untuk menjaga anak sakit dan kos rawatan), beban sektor perubatan dan ekonomi masyarakat; kesakitan, kesengsaraan dan kesan sampingan yang ditanggung oleh kanak-kanak serta ibu bapa.

    “Apabila seorang anak mendapat jangkitan telinga, dia perlu diasingkan daripada anak lain, terutama yang lebih kecil, hinggalah demamnya reda,” kata Perunding Paediatrik Pusat Perubatan Selangor, Datuk Dr Zulkifli Ismail.

    Pada masa sama, jangan bawa anak yang dijangkiti berenang kerana ia boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk.

    Beberapa cara boleh dilakukan untuk mencegah jangkitan telinga seperti:






  • Membawa anak mendapatkan suntikan vaksin. Doktor akan mencadangkan jenis vaksin yang boleh mencegah jangkitan telinga seperti vaksin untuk pneumokokal. Walaupun ia tidak memberi perlindungan 100 peratus, vaksin sangat berkesan mencegah jangkitan, terutama bagi serotype virus atau bakteria yang terkandung dalam vaksin berkenaan. Malah, ia penting untuk mengurangkan komplikasi teruk akibat jangkitan pneumokokal






  • Memberikan vaksin mencegah flu juga dianggap langkah baik kerana risiko mendapat otitis media meningkat jika kerap mengalami jangkitan saluran pernafasan






  • Basuh tangan sekerap mungkin untuk mencegah pemindahan bakteria atau virus kepada anak






  • Berikan susu badan secara eksklusif sekurang-kurangnya selama enam bulan. Elakkan anak menyusu sambil berbaring






  • Jangan merokok di dalam rumah. Lebih baik, berhenti merokok. Banyak kajian menunjukkan kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa perokok lebih kerap mengalami jangkitan telinga

    Selain itu anda boleh meminta doktor memeriksa telinga anak setiap kali ke klinik, malah Dr Zulkifli juga menyarankan doktor keluarga untuk lebih peka mengenai gejala jangkitan telinga bagi membolehkan masalah telinga dapat dikesan lebih awal.



  • Petikan dari : http://www.hmetro.com.my

    Saturday, January 1, 2011 · 0 comments

    Periksa mata anak

    Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
    E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
    JULING...salah satu tanda masalah

pada penglihatan anak.
    JULING...salah satu tanda masalah pada penglihatan anak.
    SEBELUM kehadiran kamera digital, ketika kecil dulu ramai orang, termasuk penulis, kecewa apabila melihat gambar sendiri bermata merah kesan refleksi cahaya lampu kamera.
    Keadaan itu membuatkan gambar nampak ‘cacat’ tetapi tahukah anda bahawa refleksi mata merah sebenarnya petanda baik kerana ia menunjukkan mata anda normal.

    Ini antara petanda penting, terutama bagi kanak-kanak, kerana mereka tidak pandai memberitahu masalah dihadapi, termasuk gangguan pada penglihatan.

    Perkara ini menyebabkan ramai ibu bapa tidak sedar anak mereka mengalami masalah penglihatan hinggalah si anak bersekolah, itu pun jika anak mengadu tidak nampak tulisan di papan hitam.


    Pada kanak-kanak, penglihatan yang baik dan sempurna sangat penting untuk membantu mereka belajar dan mengenali alam sekeliling.

    Masalah penglihatan yang tidak ditangani segera bukan saja boleh membantutkan proses pembelajaran, malah mempengaruhi pembentukan peribadi seseorang kanak-kanak, kata Perunding Oftalmologi, Dr Suraiya Mohamad Shafie.

    Pembangunan penglihatan sebenarnya bermula sejak kita dalam kandungan lagi.
    Mata akan menjalani proses perkembangan secara perlahan-lahan dan biasanya menjadi matang apabila seseorang kanak-kanak berumur sembilan tahun.

    Dalam tempoh ini, masalah mata kanak-kanak perlu diberikan rawatan sewajarnya supaya penglihatan mereka boleh dipulihkan atau sekurang-kurangnya kerosakan itu tidak bertambah buruk.

    “Untuk mengetahui, memahami dan mengharungi hidup di dunia, manusia memerlukan fungsi otak yang ditafsirkan daripada pengalaman dan penglihatan. Jika ada kecacatan dalam penglihatan, pengalaman seseorang individu terhadap dunia akan terjejas.

    “Namun disebabkan kanak-kanak tidak pandai memberitahu ibu bapa masalah mereka, selalunya masalah mata kanak-kanak hanya dikesan pada peringkat serius.

    “Pemeriksaan dan pengesanan awal dapat mengelak masalah lebih serius. Mengesan punca kerosakan mata di peringkat awal sangat penting.

    “Perkembangan sistem penglihatan berkait rapat dengan perkembangan otak dan proses ini berlaku sepanjang masa dari saat seseorang bayi dilahirkan hinggalah dia berumur sembilan tahun.

    “Jika rawatan diberi sebelum kanak-kanak berumur sembilan tahun, kerosakan pada sistem penglihatan mungkin dapat dipulihkan.

    “Selepas usia sembilan tahun iaitu apabila perkembangan sistem penglihatan dan otak sudah matang (tetap), sebarang masalah pada penglihatan sukar dipulihkan,” katanya.

    Oleh kerana kanak-kanak tidak pandai mengadu masalah mereka, ibu bapa perlu prihatin dengan tanda yang boleh menjadi petunjuk kepada masalah penglihatan seperti disenaraikan di bawah:

    1. Rupa mata anak anda:
  • Kedua-dua mata tidak selari atau juling. Apabila melihat sesuatu objek, sebelah matanya memandang ke arah objek manakala sebelah lagi ke arah lain; ia boleh berlaku sekali-sekala atau berterusan

  • Mata merah, banyak mengeluarkan lendir dan bengkak

  • Mata sentiasa berair walaupun tidak menangis

  • Refleksi anak mata di dalam gambar berwarna putih (tanda katarak atau kanser). Sepatutnya apabila gambar seseorang diambil, bahagian anak mata akan berwarna merah

  • Bebola mata sentiasa bergerak-gerak dan tidak boleh fokus

  • Mata kelihatan lebih besar daripada kanak-kanak lain

  • Perbezaan daripada segi saiz, bentuk dan warna kedua-dua mata

  • Mata kelihatan kuyu

    2. Tingkah laku anak

  • Mengecilkan mata atau mengerutkan dahi apabila melihat objek

  • Mengelipkan mata lebih kerap daripada biasa

  • Memegang buku rapat dengan mata

  • Tidak dapat melihat benda jauh dengan jelas

  • Menutup sebelah mata atau melentukkan kepala atau menjeling untuk melihat sesuatu (disebabkan masalah juling)

  • Menggosok mata dengan keterlaluan

  • Tiada hubungan mata antara bayi dan ibu ketika menyusu pada bayi berumur tiga bulan

  • Tidak dapat menyalin apa yang ditulis oleh guru di papan hitam dengan lengkap

    3. Rungutan anak

  • “Saya tidak nampak tulisan cikgu di papan hitam”, “Saya tidak dapat melihat dengan jelas”, “Semua benda nampak macam ada dua”

  • “Mata saya gatal atau pedih”

  • “Kepala saya sakit atau pening”

    Perkembangan mata kanak-kanak
    Menurut Dr Suraiya, ramai ibu bapa bimbang apabila mata bayi mereka yang berumur satu hingga tiga bulan kadangkala kelihatan juling. Tidak perlu bimbang, ia perkara biasa kerana ketika ini bayi belum boleh memfokuskan pandangan mereka dengan baik.

    Ketika dilahirkan, bayi tidak boleh melihat sebaik kanak-kanak yang lebih besar atau orang dewasa. Mata dan pandangan mereka belum berkembang sepenuhnya tetapi dalam beberapa bulan pertama inilah berlakunya perkembangan penglihatan yang sangat cepat.

    Secara umumnya perkembangan penglihatan bayi boleh dibahagikan kepada beberapa peringkat mengikut umur. Bagaimanapun harus diingat, setiap bayi itu berbeza; sesetengahnya mungkin mencapai tahap perkembangan pada umur berbeza.

    a. Sehari hingga sebulan:
    Sel saraf dalam retina (lapisan dalam mata yang menerima cahaya) dan bahagian otak yang mengawal penglihatan belum terbentuk sepenuhnya. Bayi hanya boleh melihat bayangan hitam, putih atau kelabu. Ketika lahir, penglihatan bayi adalah kabur. Jadi walaupun ada kalanya bayi kelihatan merenung pada objek terang, dia belum dapat membezakan antara dua objek terang yang ditunjukkan kepadanya atau mengalihkan mata daripada satu objek ke objek satu lagi.

    Fokus utama mereka ialah pada objek yang diletakkan antara lapan hingga 20 hingga 25 sentimeter (lapan hingga 10 inci) dari muka mereka atau jarak mukanya dengan muka ibu ketika diberi susu badan.

    Dalam bulan pertama ini, mata bayi mula bekerjasama dan penglihatan akan bertambah baik dengan cepat.

    Koordinasi mata-tangan akan bermula apabila bayi boleh mengesan objek bergerak dengan matanya dan cuba mencapai objek berkenaan. Dalam tempoh ini bayi juga boleh:

  • Melihat persekitaran apabila terjaga, merenung seketika pada cahaya atau objek berwarna terang

  • Mengejipkan (menutup) matanya pada cahaya lampu kamera

  • Mata dan kepala bergerak seiring (bayi akan menggerakkan kepala untuk melihat sesuatu)

  • Sebelah mata kadangkala kelihatan juling

    b. Dua hingga empat bulan
    Ketika ini sekali sekala mata bayi boleh mengikuti pergerakan objek yang perlahan. Biasanya pada umur tiga bulan, bayi mula mengenali wajah orang yang selalu bersamanya dan boleh mencapai barang. Ketika umur satu hingga dua bulan, koordinasi mata belum terbentuk; matanya boleh kelihatan juling sebelah atau kedua-dua anak mata berada di hujung mata (hampir ke batang hidung atau pandangan bersilang). Jika keadaan ini berterusan selepas berusia empat bulan, bawa bayi berjumpa pakar mata kerana pada umur ini koordinasi mata sepatutnya sudah ada.

    Antara perkara lain yang seharusnya boleh dilakukan oleh anak anda ialah:

  • Pergerakan mata lebih meluas; maknanya dia boleh melihat dengan lebih baik tanpa perlu banyak menggerakkan kepala

  • Matanya boleh mengikuti pergerakan objek atau orang; mengejipkan mata jika ada yang boleh mengancam pandangannya

  • Ada hubungan mata dengan ibu bapa atau orang yang bercakap dengannya

  • Mula melihat tangan sendiri dan menggapai objek tetapi belum mengambilnya

  • Mengalihkan pandangan dari satu objek ke objek lain yang hampir dengannya; atau dari objek dekat ke jauh dan sebaliknya

  • Mula melihat persekitaran

    c. Empat hingga lapan bulan
    Pakar mengagak bayi mula mempunyai penglihatan berwarna ketika berumur lima bulan walaupun ia tidak sebaik penglihatan orang dewasa.

    Antara umur lima hingga lapan bulan, koordinasi mata-badan semakin bertambah baik dan pada umur tujuh hingga lapan bulan, anda boleh memerhatikan bayi anda dapat melihat dengan lebih baik dan pergerakan kepala semakin berkurang. Dia sudah boleh melihat aktiviti dengan lebih lama. Pada umur ini dia juga boleh:

  • Memerhatikan atau memeriksa persekitaran dan pergerakan mata lebih simetri

  • Melihat tangan, makanan dan botol susu apabila duduk; melihat objek yang lebih jauh atau secara menegak dan pepenjuru

  • Mengesan pergerakan orang yang dekat dengannya dan melihat pergerakan dirinya

  • Mengesan objek dan cuba mendekatinya; dapat mencapai dan memegang objek dengan tepat

  • Senyum apabila melihat imejnya di cermin

    d. Lapan hingga 12 bulan
    Sekitar lapan hingga sembilan bulan, anda boleh perhatikan bayi anda memberi tindak balas terhadap senyuman dan suara orang lain; menggerakkan matanya untuk melihat apa berlaku di persekitarannya, merangkak ke arah objek atau permainan disukainya. Dia juga boleh:

  • Menggerakkan matanya ke arah dalam apabila melihat tangannya atau alat mainan dipegangnya

  • Melihat aktiviti di sekelilingnya lebih lama; mengesan orang atau objek yang perlu dielakkan apabila bergerak untuk mendapatkan sesuatu

  • Mencari alat mainan yang terlepas dari tangannya; memberi tindak balas pandangan terhadap senyuman atau bunyi lain

  • Memegang dan mencampakkan objek dengan lebih tepat

  • Meniru pelbagai pergerakan badan; bermain intai-intai

  • Mengesan objek yang biasa pada jarak enam meter

    e. Satu hingga dua tahun
    Pada umur setahun, ketepatan penglihatan bayi ialah pada julat 6/12. Koordinasi mata-tangan dan persepsi kedalaman terus berkembang. Pada julat umur ini, kanak-kanak sangat berminat pada persekitaran, boleh mengenali objek yang biasa padanya, berminat pada gambar dalam buku dan menuding jari pada objek yang boleh dicapainya. Mereka juga seharusnya boleh:

  • Mengesan perubahan persekitaran yang biasa padanya

  • Mengesan objek tertentu yang diletakkan bersama objek berlainan atau dalam persekitaran berselerak

  • Menunjuk pada objek dikehendaki

  • Memadankan dua objek yang sama dan bentuk mudah

  • Menconteng dan meniru lakaran mudah

  • Mengenali dirinya dalam gambar dan mengesan gambar tertentu dalam buku

    f. Dua hingga tiga tahun
    Pada umur dua tahun, pandangan kanak-kanak seharusnya normal (6/6). Anak anda juga lebih berminat mengenali persekitarannya. Antara yang boleh dilakukan ialah:

  • Mengesan dua atau tiga gambar sebaris

  • Menggerakkan mata ke kiri dan kanan secara sistematik

  • Meniru aksi kanak-kanak lain

  • Memadankan objek dengan gambar; memadankan objek besar dan kecil

  • Suka melihat pergerakan objek yang bergerak cepat seperti roda

  • Meneroka dan cuba mengawal pergerakan (berjalan atau memanjat tangga)

    Pada umur tiga tahun, mata kanak-kanak hampir sama saiznya dengan mata orang dewasa. Jadi pada usia ini mereka boleh melakukan aktiviti yang menggunakan otot kecil seperti menutup mata apabila diminta berbuat demikian; menunjukkan bahagian muka yang tiada dalam gambar; melukis bulatan (walaupun tidak sempurna); mendekatkan kepala dan mata apabila memeriksa buku; mewarna gambar yang mudah dan meniru bentuk atau objek mudah.

    g. Empat hingga lima tahun
    Pada usia ini kemahiran penglihatan anak anda semakin sempurna. Ketepatan penglihatan mereka sama seperti orang dewasa. Ia ditunjukkan dengan kebolehan melukis apa yang digambarkan dalam fikirannya. Mereka juga seharusnya boleh mengenal warna, melihat objek kecil yang jauh, memadankan duit syiling, meniru bentuk segi empat dan pangkah, mewarna dalam garisan sesuatu gambar, menyusun lebih tiga gambar untuk bercerita, menggerakkan mata untuk menunjukkan emosinya, melukis dan menamakan gambar serta berminat mengenali objek baru.

    Panduan ujian ketajaman penglihatan
    Menurut Dr Suraiya, semua perkembangan yang disenaraikan di atas adalah panduan umum. Usah panik jika perkembangan anak anda agak lewat asalkan dia tidak menunjukkan masalah penglihatan. Malah ibu bapa juga tidak perlu membawa anak menjalani pemeriksaan mata jika bayi mereka sihat dan nampak normal.

    Bagaimanapun, ibu bapa yang ada masalah mata disaran membawa anak untuk pemeriksaan di kedai cermin mata atau klinik mata kerana ada kemungkinan mereka juga mengalami masalah sama.

    Jika didapati mata anak anda bermasalah, bawa anak untuk pemeriksaan lanjut bagi tahap penglihatan, penentuan sama ada si kecil perlu memakai kaca mata atau tidak dan kesihatan bebola mata.

    “Jika anak anda rabun pada usia tiga tahun, dia juga perlu pakai kaca mata untuk mengelak masalah mata malas. Jika kedua-dua ibu bapa rabun, kemungkinan besar anak juga ada masalah rabun. Namun biasanya ibu bapa tidak sedar masalah mata anak, terutama jika hanya sebelah mata yang bermasalah,” katanya.

    Dalam keadaan begini, Dr Suraiya memberi beberapa panduan untuk menguji tahap penglihatan anak iaitu:

  • Bayi baru lahir hingga sebulan: Gunakan lampu suluh yang terang dan suluh mata bayi. Bayi akan menutup mata. Juga boleh digunakan lampu kamera dan bayi akan menutup matanya apabila terkena pancaran cahaya

  • Bayi dua hingga tiga bulan: Guna lampu suluh kecil yang digerakkan beberapa kali dari mata bayi. Bayi akan mengikut dengan gerakan kepala ke arah lampu digerakkan

  • Bayi tiga hingga empat bulan: Gunakan alat mainan sederhana besar, letakkan di depan bayi. Bayi akan mengikut pergerakan alat mainan dan cuba mencapainya

  • Bayi enam hingga tujuh bulan: Letakkan gula-gula manik yang berwarna-warni atau permainan kecil pada tapak tangan anda di depan bayi. Bayi akan cuba mengutipnya. Cuba dengan beberapa saiz gula-gula atau permainan berbeza

  • Kanak-kanak satu tahun: Gerakkan objek pada satu jarak dan cuba beberapa kali pada jarak berbeza

  • Kanak-kanak dua hingga tiga tahun: Memadankan gambar serupa. Gunakan dua set serupa. Satu gambar dipegang oleh kanak-kanak dan anda pegang gambar satu lagi pada jarak yang jauh. Suruh anak anda memadankan gambar yang anda tunjuk. Jika anak sudah mula bercakap, suruh dia sebut objek yang tunjukkan.

    “Penyakit mata boleh berlaku pada sesiapa saja. Kanak-kanak mungkin tidak mengadu atau menunjukkan sebarang masalah mata tetapi ada beberapa kumpulan yang perlukan pemeriksaan mata iaitu bayi pra matang; mengalami masalah Sindrom Down, Serebral Palsi atau epilepsi; dilahirkan dalam keluarga yang ada masalah mata seperti buta dan rabun.

    “Jangan berlengah membawa anak mendapatkan rawatan mata jika perlu kerana kelewatan anda boleh menyebabkan anak kehilangan pandangan sepanjang hayatnya,” katanya. 


  • Source: http://www.hmetro.com.my/articles/Periksamataanak/Article

    Monday, December 13, 2010 · 0 comments

    Masalah biasa cuma tahap berbeza

    Oleh Siti Zarinah Sahib
    E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
    CARI MAKLUMAT...ramai wanita segan ceritakan masalah berkaitan alat kelamin.
    CARI MAKLUMAT...ramai wanita segan ceritakan masalah berkaitan alat kelamin.
    RAMAI menganggap menceritakan mengenai masalah alat sulit atau alat kelamin kepada orang lain sesuatu yang tabu atau memalukan. Akibatnya ramai wanita mengambil sikap berdiam diri apabila berhadapan masalah ini kerana tidak mahu diketahui orang lain.
    Hakikatnya pada zaman sains dan teknologi ini, hal berkaitan masalah membabitkan kawasan paling sensitif bagi wanita tidak sepatutnya disembunyikan.
    Dalam kehidupan mereka, penjagaan alat sulit dianggap penting kerana berkait rapat dengan perkara yang berlaku kepada hampir semua wanita seperti pengeluaran darah haid serta hubungan seksual dan kehamilan bagi wanita yang sudah mendirikan rumah tangga.
    Alat sulit yang tidak dijaga sepenuhnya akan menyebabkan jangkitan kuman yang menjadi punca kepada masalah keputihan serta penyakit berkaitan seksual.

    Menurut Pakar Sakit Puan Hospital Pakar KPJ Tawakal, Dr Jaafar Yaakob, keputihan adalah masalah normal yang berlaku pada semua wanita. Bezanya sama ada masalah ini serius atau sebaliknya.
    Ini berlaku kerana bahagian alat sulit wanita sangat sensitif pada perubahan persekitaran terutama keasidan dan kealkalian. Justeru, setiap perubahan sama ada disebabkan jangkitan kuman seperti bakteria, virus dan kulat, penggunaan produk pembersih atau persekitaran akan menyebabkan ketidakselesaan, gatal atau mengeluarkan keputihan yang tidak normal serta berbau.
    "Keputihan adalah cairan atau lendir yang keluar daripada liang faraj selain daripada darah haid. Ada keputihan yang normal dan ada yang tidak normal serta memerlukan rawatan selanjutnya," katanya.

    Menurut Dr Jaafar, pengeluaran cairan atau lendir pada kelenjar mulut vagina (faraj) dipengaruhi rangsangan berahi. Oleh kerana itu lendir ini akan meningkat jumlahnya dalam keadaan terangsang dan pada waktu berlakunya persetubuhan.
    Pengeluaran cairan pada selaput liang vagina dan rongga rahim dipengaruhi oleh hormon. Oleh itu lendir ini akan meningkat jumlahnya sebelum dan sesudah haid atau sewaktu menghampiri waktu subur. Pada peringkat menopaus, pengeluaran cairan atau lendir ini akan berkurang.

    "Dalam kes normal, cairan atau lendir daripada ketiga-tiga sumber ini berwarna jernih, tidak berbau dan tidak diiringi rasa gatal. Kadangkala cairan ini boleh keluar dengan banyak, tetapi tetap jernih. Ini banyak berlaku kepada semua wanita yang menghampiri waktu subur, sebelum atau sesudah datang bulan," katanya.

    Selain itu, cairan normal ini juga boleh berlaku kepada wanita yang sedang mengalami gangguan jiwa seperti bersedih atau gembira, wanita hamil, wanita yang mengambil pil perancang keluarga, wanita yang sedang dalam rawatan menggunakan ubat hormon malah bayi perempuan di antara umur satu hingga 10 hari boleh menghasilkan cairan daripada vaginanya akibat pengaruh hormon yang dihasilkan oleh plasenta atau uri.

    "Wanita yang mengalami semua tanda di atas tidak perlu risau kerana ini adalah perkara biasa asalkan keputihan dialami tidak menyebabkan rasa tidak selesa atau gatal.

    "Untuk mengenali keputihan yang tidak normal, biasanya cairan yang keluar bersifat putih pekat, kelihatan seperti nanah, sering berbau busuk serta diiringi rasa gatal pada sekeliling faraj," katanya yang menolak dakwaan keputihan disebabkan faktor pemakanan.

    Dr Jaafar menjelaskan, keputihan biasa berlaku disebabkan jangkitan bakteria dan kulat. Keputihan disebabkan jangkitan bakteria akan berwarna kuning, berbau hamis dan gatal pada kemaluan. Keputihan yang disebabkan jangkitan kulat pula berwarna susu bergumpal, berbau masam, rasa gatal dan kemaluan akan membengkak dan merah.

    Katanya, keputihan kerap berlaku kepada wanita hamil, namun tidak berbahaya kerana disebabkan faktor psikologi saja. Apabila sudah melahirkan anak, masalah ini hilang dengan sendirinya.

    "Namun, jangan diabaikan jika keputihan yang anda alami berada pada tahap kritikal kerana akan menyebabkan kelahiran bayi pramatang manakala kuman betahemolytic staph aureus akan menjejaskan kesihatan bayi. Bagi wanita yang belum berkahwin, keputihan akan menyebabkan mereka sukar mendapat anak, gangguan haid, kesakitan serta ketidakselesaan ketika 'bersama'," katanya lagi.

    Menurut Dr Jaafar, keputihan yang tidak normal boleh dielakkan jika wanita mengamalkan penjagaan kebersihan alat sulit terutama ketika haid.

    "Ketika haid, wanita dinasihatkan kerap menukar tuala wanita terutama pada hari yang banyak darah keluar. Ini kerana darah adalah medium yang sesuai untuk kuman membiak. Bagi wanita yang menggunakan tampon mereka perlu ingat untuk menukarnya selalu," katanya.
    Selain itu, elakkan menyabun atau menyapu gel pembersih pada alat kelamin kerana ini mungkin menyebabkan kekeringan, radang kulit dan gatal. Sesetengah wanita sensitif dan alah pada pewangi dalam buih sabun.
    Pasangan suami isteri pula digalakkan membersihkan alat kelamin dengan air sebelum dan selepas hubungan seks untuk kebersihan yang optimum, begitu juga selepas membuang air kecil serta besar.

    Amalan melakukan douching iaitu memasukkan jari atau pancutan ke dalam faraj dengan tujuan membersihkan bahagian dalam faraj adalah tidak baik dan boleh menyebabkan punca keputihan.

    "Ini kerana perbuatan ini akan menyingkirkan sejenis bakteria baik iaitu lactobacilli dari faraj di samping mendedahkan faraj dan bahagian luar kemaluan kepada bahan kimia yang boleh mengakibatkan masalah kulit," ujarnya.

    Katanya, pemakaian pakaian dalam jenis sintetik yang terlalu ketat akan menambahkan lagi masalah keputihan. Ini kerana fabrik jenis ini akan menyebabkan kulit berpeluh, tiada peredaran udara pada kulit dan akhirnya menggalakkan kuman membiak.
    Sebaiknya pakai pakaian dalam jenis kapas dan menukar setiap hari dan lebih kerap pada hari mengalami keputihan. Seeloknya pakai pelapik seluar dalam supaya tidak melekat pada pakaian dalam yang menyebabkan ketidakselesaan.

    Bagi wanita yang mengalami masalah keputihan yang serius, biasanya rawatan diberikan mengikut jenis kuman pada cairan vagina. Selepas itu doktor akan memberikan antibiotik bagi mengawalnya.
    "Namun begitu, seelok-eloknya wanita yang mengalami masalah keputihan dinasihatkan berjumpa doktor untuk mendapatkan pengesahan sama ada ia berpenyakit atau tidak, supaya rawatan dapat diberikan sebelum penyakit serius," jelasnya.

    Saturday, November 20, 2010 · 0 comments

    Urat kaki bersimpul

    Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
    norlaila@hmetro.com.my
    E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
    pix_middle
    MEMANG kasihan melihat sesetengah orang terutama wanita hamil, khususnya yang berbadan besar, mempunyai masalah urat kaki bersimpul kerana ia bukan saja membuatkan kaki nampak ‘mengerikan’, juga individu berkenaan berasa sakit apabila berjalan atau berdiri lama.
    Masalah urat kaki bersimpul atau vena varikos boleh dilihat dengan jelas melalui simpulan urat berwarna kebiruan yang ada kalanya timbul pada permukaan kulit kaki, terutama di betis dan buku lali.

    Biasanya ia tidak serius tetapi kadangkala ia boleh menyebabkan pelbagai masalah sehingga membuatkan seseorang sukar berjalan.

    Istilah vena varikos diambil daripada perkataan ‘varix’ yang bermaksud simpul dan vena pula merujuk kepada salur darah. Salur darah utama dalam badan kita (juga dipanggil pembuluh darah) boleh dibahagi kepada dua jenis iaitu arteri dan vena.
    Arteri adalah salur yang membawa darah beroksigen dari jantung ke bahagian badan yang lain, manakala vena pula membawa darah tanpa oksigen kembali ke jantung.
    Menurut Pakar Bedah Vaskular dan Endovaskular Pusat Perubatan Tropicana, Dr Lee Soon Khai, semua pembuluh darah berpotensi untuk bersimpul tetapi salur darah yang paling berisiko adalah di bahagian kaki.
    Masalah urat kaki bersimpul timbul apabila berlaku kerosakan injap utama dalam salur darah vena (biasanya pada pangkal paha atau lutut) dan salur darah pada kaki menjadi lemah.
    Pada keadaan semula jadi, darah kita mengalir dalam satu hala dan injap pada salur darah vena berperanan memastikan darah tidak beroksigen mengalir dari kaki ke jantung.
    Selepas darah melalui injap, ia akan tertutup untuk mengelak darah mengalir balik ke kaki (aliran songsang). Apabila injap ini lemah, ia tidak boleh berfungsi dengan baik dan akan berlakulah aliran songsang darah.
    Darah yang sepatutnya mengalir ke jantung akan berpatah balik dan berkumpul di dalam salur darah di kaki. Akibatnya, lama-kelamaan tekanan dalam salur darah meningkat yang akhirnya menyebabkan salur darah menjadi lemah, mengembung, membesar, memanjang dan akhirnya berbelit-belit.

    “Pada peringkat awal, pesakit yang mengalami masalah urat kaki bersimpul biasanya mengalami kesakitan dan bengkak pada bahagian kaki.

    “Sesetengah pesakit boleh mengesan masalah mereka kerana urat kaki bersimpul ini ada kalanya timbul dan simpulan urat boleh dilihat dengan jelas, terutama pada individu berkulit cerah.

    “Masalah ini biasanya berlaku pada individu berumur antara 40 hingga 60 tahun dan lebih kerap dialami wanita (70 peratus). Oleh kerana aliran darah pada kaki terganggu, tisu di sekeliling salur darah tidak mendapat cukup oksigen dan kulit menjadi hilang warna atau menjadi pucat.

    “Jika injap pada pangkal paha rosak, simpulan urat yang besar dan biru boleh dilihat pada paha tetapi ia lebih jelas pada belakang betis. Pada peringkat lebih teruk, kulit menjadi pucat dan bengkak pada buku lali,” katanya.
    Menurut Dr Lee, punca sebenar masalah urat kaki bersimpul tidak diketahui tetapi pakar percaya beberapa faktor boleh menyebabkan masalah ini iaitu:

  • Faktor keturunan — Individu yang kedua-dua ibu bapa mengalami masalah ini mempunyai peluang 80 peratus mendapat masalah sama dan 50 peratus jika hanya seorang saja (ibu atau bapa) ada masalah ini. Bagaimanapun, ada juga kes (23 peratus) berlaku tanpa sebab yang pasti (tiada kaitan dengan keturunan);


  • Kehamilan — Hampir 70 peratus wanita mengandung mengalami masalah ini. Ini kerana kehamilan meningkatkan aliran darah dalam tubuh, peningkatan paras hormon progesteron menyebabkan salur darah mengembang dan rahim yang membesar menindih salur darah serta menyekat aliran darah balik ke arah jantung.

    Namun begitu, usah risau kerana tidak semua wanita hamil mengalami masalah ini. Bagi wanita yang mengalami vena varikos ketika mengandung, keadaan salur darah beransur pulih selepas tiga bulan bersalin. Namun, masalah ini berulang pada kehamilan seterusnya;

  • Pekerjaan — Biasanya masalah urat kaki bersimpul lebih kerap dialami golongan yang perlu berdiri atau duduk lama ketika bekerja seperti guru dan pekerja kilang. Ini sebabnya kita disaran berhenti rehat dan melakukan senaman ringan atau kerap menukar posisi;

  • Umur dan berat badan. Semakin seseorang itu gemuk, lebih mudahlah masalah urat kaki bersimpul terjadi. Masalah ini juga meningkat pada orang lebih berusia dan menjadi serius jika dibiarkan.
    Gejala
    Masalah vena varikos timbul perlahan-lahan dan proses itu tidak dapat dihentikan. Gejalanya boleh dilihat dengan mudah, sama ada pada paha atau belakang betis; mengikut kedudukan injap bermasalah.

    Jika injap pada pangkal paha yang bermasalah, urat kaki bersimpul boleh dilihat pada belakang paha dan betis.

    “Pada peringkat awal, pesakit mungkin mengalami gejala seperti kakinya cepat penat, terasa berat dan sengal otot. Pada peringkat akhir, kulit berubah warna menjadi pucat, kering, ulser, berlaku pendarahan apabila salur darah pecah dan sel darah merah keluar daripada kulit.

    “Apabila kaki kurang menerima oksigen, kulit menjadi pucat dan kering. Dalam keadaan ini, calar kecil pun boleh menyebabkan ulser.

    “Yang menyedihkan ialah ada pesakit hanya berjumpa doktor apabila tidak tahan sakit akibat luka dan ulser pada kaki,” kata Dr Lee.

    Antara gejala yang sering dilaporkan ialah:

  • Salur darah menjadi besar, berwarna biru, berbelit

  • Kaki bengkak

  • Bengkak dan sakit pada betis apabila berdiri atau berjalan lama

  • Berlaku perubahan pada warna kulit, kulit kaki menjadi pucat

  • Buku lali bengkak

  • Kaki cepat letih dan alami kekejangan pada waktu malam

  • Kulit menjadi nipis dan kering

  • Keradangan

  • Ulser (peringkat akhir)

  • Pendarahan (peringkat akhir)

  • Salur darah lebih halus nampak berselirat (juga dipanggil salur darah labah-labah)
    Pengesanan dan rawatan

    Masalah urat kaki bersimpul mudah dikesan, terutama apabila anda berdiri. Doktor akan memeriksa kaki pada tempat bengkak, sakit, kulit pucat, luka atau ulser. Jika anda menunjukkan gejala urat kaki bersimpul, doktor mungkin perlu menjalankan beberapa ujian untuk mengesahkannya.

    Ujian yang biasa dilakukan ialah imbasan ultra bunyi pada kaki untuk mengenal pasti kedudukan injap yang bermasalah.

    Walaupun bukan masalah serius, ia masih memerlukan rawatan awal sebaik anda menyedari kewujudan salur darah begini.

    Jika dibiarkan, kerosakan injap menyebabkan salur darah menjadi semakin besar, membuat kaki membengkak, sakit dan menjejaskan aktiviti harian.

    Ada beberapa kaedah mengatasi masalah ini, iaitu melalui pemakaian stokin khas (stokin tekanan), suntikan dan pembedahan.

    Bagaimanapun, pemakaian stokin khas hanya dapat meredakan gejala urat kaki bersimpul tetapi tidak menghalang proses pembentukannya.

    Kaedah suntikan pula hanya berkesan jika salur darah tidak terlalu besar bagi fungsi kosmetik tetapi ia tidak menghalang pembentukan urat kaki bersimpul.

    Pernah, kaedah yang sering dicadangkan kepada pesakit ialah pembedahan tetapi ramai pesakit bimbang dan takut apabila diberitahu mereka perlu dibedah; apatah lagi ia mengambil masa lama (dua minggu) untuk sembuh.

    Kini ada kaedah baru untuk merawat masalah urat kaki bersimpul iaitu rawatan laser endovenus (EVLT) yang menggunakan tenaga haba.

    Teknik ini lebih berkesan kerana ia menggunakan kurang tenaga haba berbanding kaedah lain yang kadangkala menyebabkan lebam dan bengkak akibat tenaga haba yang terlalu tinggi.

    “Tidak seperti pembedahan konvensional yang memerlukan pesakit bermalam di hospital, kaedah laser ini hanya mengambil masa lebih kurang sejam dan pesakit boleh balik pada hari sama.

    “Dalam rawatan ini, doktor mencucuk jarum pada kaki dan memasukkan satu wayar halus ke dalam salur darah yang bersimpul.

    “Selepas kedudukan wayar ditetapkan, doktor mengaktifkan laser dan tenaga haba disalurkan melalui wayar tadi. Ia secara perlahan-lahan memanaskan salur darah dan menyebabkan ia tertutup.

    “Apabila salur darah ini tertutup, aliran darah secara automatik beralih ke salur darah lain yang sihat. Maknanya aliran darah kembali normal.

    “Biasanya selepas rawatan, pesakit disaran memakai stokin tekanan untuk sekurang- kurangnya dua minggu bagi merangsang aliran darah.

    “Kadangkala kaki pesakit terasa sakit sedikit tetapi ia boleh diatasi dengan mengambil ubat untuk beberapa hari,” katanya.

    Kaedah ini juga boleh dilakukan pada pesakit yang mempunyai ulser dan tidak sembuh walaupun sudah lama dirawat. Berdasarkan pengalamannya, selepas rawatan ulser lebih cepat sembuh kerana aliran darah pada kaki kembali normal. Malah ia juga sesuai untuk pesakit yang ada masalah jantung.

    Individu yang ada masalah urat kaki bersimpul tidak perlu risau kerana walaupun teknik ini agak baru di Malaysia (sekitar empat atau lima tahun) tetapi ia selamat dan berkesan (95 peratus kejayaan).

    Bahkan kebimbangan sesetengah pihak terhadap urat yang dirawat menggunakan haba ini terbuka kembali dan menyebabkan masalah itu berulang juga tidak timbul.

    Kos rawatan untuk kaedah laser ini adalah dua kali ganda berbanding pembedahan konvensional iaitu sekitar RM6,000 hingga RM8,000 sebelah kaki.

    Bagaimanapun, untuk jangka panjang ia lebih murah jika diambil kira kos hospital, kesakitan dialami dan tempoh pemulihan kerana pesakit yang dirawat dengan kaedah laser cepat ‘sembuh’ dengan dan boleh berjalan dengan baik pada hari sama.

    Cara mengelakkan

    Dr Lee berkata, beberapa kaedah boleh diambil untuk mencegah masalah urat kaki bersimpul iaitu:

  • Memakai stokin tekanan ketika penerbangan jarak jauh, terutama bagi wanita hamil. Stokin ini diperbuat daripada bahan berkualiti menggunakan teknologi dari Jerman. Stokin tekanan ini berfungsi secara perlahan-lahan mengurangkan tekanan pada bahagian buku lali ke paha, sekali gus meningkatkan aliran darah secara betul ke bahagian jantung;

  • Menjaga berat badan (berat badan seimbang dengan ketinggian);

  • Kerap bersenam dan senaman yang berkala.


  • Join APSense Traffic Exchange - Create Account

    Anda Boring? Layan je kat sini

    KEDAH FM

    Kedah FM Malaysia

    IKIM FM

    FEEDJIT Live Traffic Feed

    Health blogs
    Join Now