Risau buah zakar anak hanya satu
Soalan:DOKTOR, saya melahirkan anak lelaki yang sihat 17 tahun lalu. Ketika itu saya dapati buah zakarnya hanya satu. Bagaimanapun, saya diberitahu, ia akan turun selepas beberapa bulan dilahirkan. Saya dapati ada kalanya buah zakarnya satu, ada kalanya dua. Apakah sebenarnya yang terjadi?
Ibu Bimbang.
Jawapan:
BUAH zakar mula terbentuk ketika umur bayi dua bulan dalam kandungan. Ia berlaku berhampiran dengan kedudukan buah pinggang di dalam perut bayi. Ia akan turun dan keluar melalui laluan khas (inguinal canal) untuk memasuki kantung zakar pada umur bayi tujuh bulan dalam kandungan.
Atas sebab tertentu, perjalanan keluar zakar mungkin tersekat dan bayi lelaki itu dilahirkan dengan ketiadaan satu atau kedua-dua buah zakarnya. Kejadian ini disebut kriptochidisma atau ‘undescended testis’. Tiga peratus daripada kanak-kanak lelaki yang dilahirkan cukup bulan mempunyai hanya sebiji zakar. Ia meningkat kepada 30 peratus apabila dilahirkan tidak cukup bulan. Bagaimanapun, terdapat kemungkinan zakar itu akan turun dalam jangka masa enam bulan selepas dilahirkan akibat peningkatan mendadak hormon lelaki dalam jangka masa berkenaan. Selepas itu, peluang untuk ia turun adalah tipis.
Apabila puan mengatakan, ada masanya zakar anak puan menjadi dua, maka apa yang perlu dipastikan, adakah anak puan termasuk dalam kumpulan ‘undescended testis’ atau cuma ‘retractile testis’ iaitu zakar itu telah turun tapi berkedudukan tinggi di sebelah atas karung zakar? Sebaik cara untuk mengenal pasti keadaan sebenar, anak puan patut melakukan pemeriksaan ultrasound atau sebagainya untuk mengenal pasti kedudukan zakarnya.
Imbasan ultrasound boleh membantu masalah utama ‘undescended testis’ terjadi selain mengenal pasti tindakan sepatutnya dilakukan. Dikhuatiri mudarat yang akan timbul sekiranya ia diabaikan. Zakar yang tidak turun ke kantungnya lebih kerap mendapat trauma dan pintal (torsion).
Selain itu, kanak-kanak yang mempunyai kriptochidsima selalu mempunyai tekanan psikologi sosial seperti rendah diri, rasa kekurangan dan mandul. Apa yang lebih menakutkan ialah risiko untuk mendapat barah pada zakar itu adalah antara 30 hingga 40 kali lebih tinggi daripada biasa. Perubahan sel pada zakar ini berlaku 18 bulan selepas dilahirkan. Pada mulanya sel-sel benih lelaki akan mati dan diikuti perubahan yang boleh menyebabkan barah biji zakar.
Oleh kerana anak puan sudah berumur 17 tahun, adalah mustahak anak puan dibawa berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. Lazimnya, zakar yang tidak turun pada umur sedemikian sudah tidak mempunyai fungsi dan berisiko tinggi untuk mendapat barah.
Jawapan disediakan oleh:
Doktor Jamaludin Yushak
Pakar Bedah Am
Pusat Perubatan Darul Ehsan, Shah Alam.
0 comments:
Post a Comment