Makanan tingkatkan jumlah sperma
Bersama Pakar Urologi Prof Madya Dr Zulkifli Md Zainuddin, Ketua Unit Urologi, Pusat Perubatan UKM, Cheras
tanyadrxy@bharian.com.my
SAYA musykil apakah ada makanan tertentu yang boleh diambil bagi meningkatkan jumlah sperma? Bagaimana jika kita mahu mendapatkan sperma bermutu?
Cik Lan
Bangi
MENGIKUT pandangan dan kajian pakar pemakanan Barat, ada beberapa jenis makanan, vitamin dan mineral yang boleh meningkatkan mutu sperma. Bahan yang mengandungi antioxidant ini boleh mengelak kerosakan sperma.
Mutu sperma juga banyak dipengaruhi makanan yang mengandungi antioxidant. Ini berdasarkan kajian yang menunjukkan lelaki yang kurang mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran mempunyai kualiti dan motiliti sperma rendah.
Antioxidant glutahatione dan crypthoxanthin banyak didapati dalam sayur-sayuran hijau dan tomato. Pengambilan zink ,asid folic, chromium, selenium dan coenzyme Q10 juga dikatakan membantu meningkat mutu sperma. Selain itu, pengambilan vitamin C, E dan vitamin B Kompleks boleh membantu.
Selain itu, jangan pakai seluar dalam ketat kerana ini boleh meningkatkan suhu dalam buah zakar dan menjejaskan penghasilan sperma.
Bagaimanapun, jika saudara menghadapi masalah kesuburan atau mempunyai kandungan sperma rendah, saudara perlu terlebih dulu berjumpa doktor pakar. Ini kerana ada beberapa masalah urologi yang boleh menyebabkan kemandulan. Ini termasuk masalah varicocele yang boleh dirawat dengan cara pembedahan.
0 comments:
Post a Comment